Skip to content

Dia Punya Cerita: Esei Penuh Memori Izanor di Tingkatan Lima

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Hai Blinkers! Mempersembahkan esei tulisan Izanor ketika di tingkatan lima!

Memang sejak dulu lagi. Bila? Sejak azali agaknya. Sejak kaum kerabat dinosor hidup lagi dalam dunia ini. Saya benar-benar tidak suka, benci dan bosan dengan subjek yang satu ini. Memeningkan kepala dan menyeksa urat-urat otak. Bukannya saya seorang, ramai lagi yang tertekan dan terdera dengan subjek yang tahap kesukarannya sangat mencabar emosi (bagi sayalah). Namun, mereka semua itu sekurang-kurangnya ingin juga belajar, buat latihan, dan rajin berusaha. Saya? Huh, kosong bin tiada!

Semasa di sekolah rendah, saya masih kategori budak baik. Semua kerja sekolah gerenti siap. Keputusan ujian mesti dapat markah 80 ke atas. Tidak ada apa yang menghairankan! Kacang rebus! Hmm… setakat itu sahajalah kenangan terindah yang saya ada.

Minggu kedua sesi pembelajaran tingkatan satu, masalah bermula! Ah, sudah! Satu habuk pun tidak tersangkut dalam minda. Setiap kali berperang dengan kertas peperiksaan, hasilnya pasti gagal! Guru yang dipersalahkan sebab mengajar perkara susah. Bermula dari saat itu, saya mengucapkan selamat tinggal buat subjek ini.

Kehidupan tingkatan dua menjelma. Saya langsung tidak ambil peduli tentang subjek ini. Kebiasaannya, semasa guru beria-ia membuat penerangan, saya hanya fokus kepada dua perkara. Tidur-tidur ayam atau berbual sakan. Ya, sungguh berani saya bersikap buruk. Tambahan pula dianugerahkan guru yang lemah lembut, alahai… bahagianya hidup!

Catatan ketika di tingkatan tiga. Semua latihan ditanggung beres. Fotostat bulat-bulat! Saya memang tidak tahu buat sendiri. Detik guru mengajar, mata saya sikit pun tidak berkelip memanah ke arah papan hitam. Kononnya, menumpu sepenuh perhatian, padahal tiada satu contoh pun yang saya faham! Lakonan sebegitu terpaksa dilakukan kerana pelajar-pelajar yang lain semuanya bersemangat waja hendak belajar.

Saya sahaja yang tersesat lorong! Sewaktu PMR menjelang, saya selesaikan setakat yang mampu. Selebihnya bagi kertas soalan objektif, saya hitamkan sesuka jari dan mata pensil. Pada kertas soalan subjektif pula, saya hanya jawab beberapa soalan yang tidak ubah seperti di sekolah rendah. Baki yang lainnya terbiar kosong. Saya tidak rasa terkilan walau secuit! Selepas keputusan peperiksaan diterima, saya terasa mahu cucuk mata dengan garpu menatap slip di tangan. Saya meraih objek bulan sabit kurus! Ya, jelas terbukti markah yang melayakkan saya mendapat C. Adakah ia sejenis lawak antarabangsa? Geografi yang saya tekuni sehingga bermata panda hanya mendapat D?

Tingkatan empat…

Hore! Saya ditukarkan kelas dan bertemu kembali teman sekepala. Namun, disebabkan guru kali ini bermata helang dan hobinya pula memeriksa buku latihan para pelajar, terpaksalah saya menyiapkan tugasan kerja rumah juga. Aci main salin buta-buta sahaja! Semasa hari peperiksaan saya tidak pergi. Bersantai di rumah, dengar radio lagi seronok!

Semua ini memang gila! Jangankan orang lain, saya sendiri susah hendak percaya. Saya langsung tidak ada hati pada subjek ini. Tuhan sahaja yang tahu betapa seksanya saya setiap kali berpura-pura minat sewaktu guru mengajar. Terasa seperti digelek dengan BIG FOOT! Subjek ini bukannya senang. Bukan calang-calang orang mampu takluk puncak markah. Ia akan jadi senang jika kita faham dan memperbanyakkan latihan. Sudah tentu mesti rajin, saya pula… malas! Saya sedar dan tahu bahawa subjek ini penting demi masa depan. Namun, entahlah… Matematik? MATEMATIK! Dengar namanya sahaja saya sudah cukup benci. Sakit seluruh jiwa! Jika diberi pilihan, Matematik adalah subjek pertama yang akan saya singkirkan dari senarai matapelajaran sekolah menengah. Semua orang tahu itu adalah perkara yang mustahil. Oh sedihnya…!

 

*Kenderaan BIG FOOT yang ada kuasa Super Himpit dan Penyek*
*Kenderaan BIG FOOT yang ada kuasa Super Himpit dan Penyek*

Teman-teman seperjuangan yang sehati dan sejiwa sudah kering air liur dalam usaha memulihkan diri saya. Mereka kata, “Entah apalah yang akan jadi pada awak?” Saya buat tidak kisah sambil terus goyang kaki dan jari. Mujurlah ibu bapa saya tidak tahu. Jika perihal anaknya yang sudah benci separuh nyawa pada Matematik diketahui mereka, silap hari pasti dimasak lemak cili api!

Itu semua cerita lama. TUP! TUP! Minit-minit berlari pantas. Tanpa sedar, saya adalah antara calon yang akan menduduki kerusi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia tahun ini. Baru sekarang rasa gerun! Saya mula menyesal lalu terhegeh-hegeh mahu berubah sikap. Bayangkan hendak ulangkaji semula semua tajuk, formula dan jalan kira-kira yang diabaikan sejak dari tingkatan dua? Emosi saya hanya tuhan sahaja yang tahu. Andai masa mampu diundur, tidaklah saya segerun ini.

Saya bersemuka dengan guru Matematik. Saya ceritakan masalah dan dilema yang dihadapi. Puan Fazilah memang baik budi. Dia beri saya nasihat dan semangat. Puan Fazilah juga asalnya tidak menyukai subjek Matematik. Pelik, alih-alih jadi guru Matematik pula! Saya terhairan-hairan mendengarnya. Menurut Puan Fazilah lagi, disebabkan ingin berjaya, siang dan malam dia bertungkus lumus belajar mendekati Matematik. Pesan Puan Fazilah pada saya…

“Awak sudah beritahu situasi ini, awak mesti rajin. Masih sempat lagi, sekarang bulan Februari. Saya yakin awak boleh buat!” Uwaa… saat itu hati saya tersentuh dan terasa mahu menangis!

6.45 am. Mentari pagi masih segan silu menampakkan sinarannya. Pemandangan yang indah! Saya amat kagum melihat alam ciptaan tuhan. Sesungguhnya, saya bersyukur kerana masih bernafas bagi menikmati suasana yang begitu mendamaikan ini. Hidup ini singkat! Saya tidak sepatutnya mensia-siakan apa yang dianugerahkan oleh tuhan. Saya pejamkan mata beberapa saat. Bayangan wajah ibu dan ayah saya muncul! Oh, saya sayangkan mereka berdua! Dua insan yang banyak berjasa dan berkorban. Saya tidak mahu mengecewakan mereka. Sekiranya saya terus begini, saya tidak akan mencapai apa-apa. Saya harus mengubah pandangan terhadap Matematik. Saya mesti belajar bersungguh-sungguh, berusaha sedaya-upaya dan akhirnya menjalani peperiksaan. Semoga impian saya jadi kenyataan. Amin! 

***

DSC_1757 DSC_1758

Sejarahnya, Kak Izanor mahu hantar esei ini bagi penerbitan majalah sekolah. Namun… otak asyik fikir negatif dan tidak yakin pada diri sendiri. Jangan tiru seperti Izanor Sharif. Beribu sesalan yang tidak bermakna. Oh! (=_____________=)


Sesiapa yang ada bakat dan memiliki koleksi penulisan sendiri… apa tunggu lagi? Zaman sekarang ada banyak medium penulisan yang terbentang. Tulis menerusi nota Facebook dan blog pun boleh. Minta kawan-pengkritik yang jujur untuk beri komen dan seterusnya berusaha mengasah skil menulis. Mana tahu ada rezeki mampu tulis novel, diterbitkan, dijual dan diletakkan bersebelahan dengan Aku Mahu Superbibik atas rak yang sama?^^

Selamat menulis dan berkongsi idea!

Published inIzanor Sharif

24 Comments

    • Izanor Sharif Izanor Sharif

      Nursyamsnadzirah…it’s okey. Bukan rezeki esei itu mahu masuk majalah sekolah. Sekarang dapat paparkan di blog blink blink Kak Izanor sudah cukup bahagia 😀

    • Izanor Sharif Izanor Sharif

      Hehehe! Afiqah, sememangnya akan ada subjek tertentu yang kita agak lemah. Selamat terus berusaha! 8)

  1. Syahmi Syahmi

    Wah, nasib Kak IZanor seperti Syahmi!
    Cuma, Syahmi baru di Tingkatan Dua.
    Syahmi tidak suka mata pelajaran Matematik.

    • Izanor Sharif Izanor Sharif

      Syahmi baru di tingkatan dua, masih banyak masa dan peluang untuk terus berusaha. Kak Izanor doakan Syahmi mudah menghafal formula dan rajin membuat latihan sebanyak yang mungkin. Selamat mesra dengan Matematik! 😉

    • sama lah macam saya Syahmi, tapi saya tidak suka bab ungkapan algebra sahaja (bab tu lah yang saya paling lemah dan paling memeningkan kepala) nasib baik cikgu sudah buat PBS :). Saya baru belajar sampai bab 6: Teorem Pythagoras (tu pun belum habis lagi) cikgu tengah sibuk buat PBS (tadi baru selesai buat PBS bab 4: persamaan linear) 🙂

      #tingkatan dua dan satu kelas tingkatan satu sekolah saya bersekolah sesi pagi

      • Izanor Sharif Izanor Sharif

        Yeah, memang banyak pengalaman dan cerita kita menghadapi subjek Matematik 😀 Kak Izanor doakan Shofiyah dan Syahmi terus bersemangat setinggi gunung. Go!

    • Izanor Sharif Izanor Sharif

      Okey, Kak Izanor akan jenguk blog Nasehah 8) Perancangan masa depan kami mahu wujudkan majalah BLINK. Mungkin ada peluang karya Nasehah untuk dikongsikan dalam majalah, siapa tahu kan? Sempena cuti sekolah juga, Kak Izanor mahu buat pertandingan cerpen. Tunggu pengumumannya ya!^^

  2. dhuha steffa dhuha steffa

    Membaca esei Cikpuan Izanor di atas, seperti mengimbas kenangan diri saya sendiri. Ujian Unit 1, bulan pertama dalam Tingkatan 4, hanya 11 soalan. Saya dapat 0. Saya gelak ketawa seperti biasa. Tak terlintas nak tanya cikgu, kenapa dapat 0? Cikgu pandang saya dengan muka pelik. Beberapa siri ujian tetap gagal.

    Sehingga cikgu tawarkan join kelas tambahan berbayar tetapi free untuk saya. Hanya sekali saya tunjuk muka,lepas tu terus lesap! Pertandingan sayembara puisi, saya join. Yeah! Budak kelas sains dapat No.3? Cikgu garu kepala. Bila cerpen saya ‘Rindu serindu-rindunya’ terbit dalam majalah sekolah, cikgu terus panggil ke meja..Awak salah opsyen!

    Tau pun..Yang cikgu beria-ia suruh saya isi form masuk kelas sains kenapa? Maths saya C tapi cikgu merujuk pada Sains dan BI yang A. Tak nak! Tak nak! Masuk kelas sains siap main heret-heret. Betul-betul drama! Akhirnya, apabila keputusan SPM diumumkan, saya terlompat-lompat gembira walaupun sekadar kredit 6.

    Cikgu maths datang berjumpa saya sambil menangis. Kami berkongsi kegembiraan bersama dengan kredit ala kadar itu. Rakan-rakan yang lulus cemerlang jadi hairan. Apalah yang ada dengan kredit 6 ciput itu sehingga bertangis-tangisan begitu?? Kami yang cemerlang gemilang ini tidak dipandang? Mungkin itu yang mereka fikirkan saat itu.Tetapi hanya saya dan cikgu maths itu yang faham. Budak yang sentiasa gagal boleh lulus!

    Benar-benar satu keajaiban! Ajaibkah? Sebenarnya yang ajaib ialah usaha cikgu maths itu yang tidak pernah kenal putus asa membimbing saya yang bengap maths hingga ke saat-saat akhir….sayang cikgu!

    Maaf…reply saya ni ‘agak’ panjang… peace! 🙂

    • Izanor Sharif Izanor Sharif

      Cikpuan Dhuha Stefa, terima kasih kerana berkongsi cerita. Saya yakin ramai lagi ‘geng seangkatan’ yang pernah mengalami babak-babak sebegini dalam perjalanan persekolahan mereka. 😉 Cikgu bagaikan tulang belakang dan pencetus inspirasi pelajar. Selamat terus bersemangat menabur bakti! Tajuk cerpen Rindu Serindu-rindunya itu memang EPIK. Haha!

  3. Wekk :'( ! Nak menangis saya baca post ini ! Sungguh menyayat hati ! Penuh dengan pengajaran yang bermakna lagi berguna buat masa akan datang ! Meningkatkan semangatku bertingkat-tingkat untuk belajar dengan kebih tekun dan tidak mensia-siakan ilmu yang disampaikan ! Sungguh saya akui ! Cerpen itu sangat kreatif dan mantap bahasanya dan sedikit aura kelakar diserlahkan ! Magis sungguh cerpen air tangan Kak Izanor ! Luahan hati dengan jujur itu amat menarik minat saya ! Ia bagaikan diari peribadi yang telah dibongkarkan buat tatapan umum ! Sentuhan tangan Kak Izanor sentiasa membuatkan diri saya terpegun,terkesima dan sedikit-sebanyak mengubah diri saya untuk lebih berjaya di dunia yang sementara ini ! Semoga kehidupan Kak Izanor bahagia sentiasa! Terima kasih banyak-banyak ! Saya harap Kak Izanor membasahkan lidah Akak dengan mendoakan kejayaan saya ! Thanks A lot ! 🙂

    • Izanor Sharif Izanor Sharif

      Alhamdulillah! Catatan Kak Izanor yang sederhana ini berjaya menaikkan semangat Igmar dalam bidang penulisan. Mesti-mesti, Kak Izanor sentiasa doakan kejayaan Iqmar dan para Blinkers yang lain. Semoga kita semua meraih kegembiraan dan terus bersyukur. Sama-sama dan terima kasih kembali. 😉 🙂

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *