Skip to content

Yang (belum) terlambat…

Assalammualaikum Blinkers!
dan Hey Yo! …

Ini post 2014 yang pertama dari Fazla Idha dan tim duo Aja Fazla.

Post hari ini tidak akan laju seperti post-post sebelumnya. Jika tidak cukup masa boleh berhenti di sini.

————–
(Lebih kurang berbelas tahun dahulu)

Suatu hari dalam pukul 3 petang, satu panggilan telefon diterima. Waktu itu badan masih lagi penat, selesai mengemas rumah dan sedang melelapkan mata di ruang tamu.

Hanya 3 perkataan ini yang masih segar dalam ingatan, ‘Mak – Hospital – Stroke’

Masih lagi dibuai penat tidur, saya hanya terbayangkan situasi orang pegang dada, seperti sakit jantung. Waktu itu memang naif tentang stroke (ada yang mengenalinya dengan angin ahmar), dan saya hanya terbayangkan mak di hospital, sakit dibahagian dada dan nanti akan elok. Ini memang interteks dari drama-drama tv yang biasa ditonton sewaktu kecil dahulu (zaman 80-an dan 90-an).

Drama tv waktu itu ssal sakit sahaja, kebanyakannya mesti sakit jantung, dan perkataan stroke pun keluar dan pelakon mesti pegang dada (sama kesan seperti orang sakit jantung). Seterusnya pelakon itu akan dilihat bersama keluarga di katil hospital, dan pulih macam biasa. Tiada pula keputusannya orang itu lumpuh badan (ini setakat drama-drama yang selalu saya tonton, jika tidak sama tidak mengapalah).

Jadi, saya bergegas ke hospital. Mak terbaring di atas katil dikelilingi kawan-kawan yang menghantar mak dari bilik mesyuarat (tempat kejadian). Dia tidak mampu bersuara, yang keluar dari mulutnya hanya bunyi-bunyi yang tidak kami faham. Dia juga keliru ketika itu dengan keadaan sekeliling. Air mata mencari ruang untuk keluar dan membasahi pipi emak dan kami juga.

—————-

(Setahun yang lepas)

Malam ini saya dan isteri dan anak-anak sedang menuju balik ke rumah, satu panggilan telefon diterima dari pakcik sebelah ayah. “Ayah kau muntah darah, cepat balik kita hendak hantar ke hospital.”

Malam itu juga berlaku satu lagi titik peralihan dalam laluan hidup saya. Bermula dengan muntah darah kemudiannya berakhir dengan ayah juga mengalami stroke. Situasinya kali ini, kami adik beradik tidak panik atau melatah goyah. Semua sudah bersedia menghadapi situasi yang berlaku. Pengalaman menjaga emak memang satu nikmat yang diberiNYA buat kami.

Tentulah ada juga kekok, kerana kali ini ketua keluarga (ayah) pula diberi ujian sebegini. Maka tinggal saya dan adik-adik yang perlu lebih kuat bertindak menguruskan semuanya di rumah dan hospital. Syukur ramai pakcik makcik membantu.

—————–

(Baru-baru ini)

Emak dimasukan ke hospital akibat demam denggi. Syukur, ianya bukan tahap kritikal. Akibat beberapa konten dalam darah yang rendah, emak ditahan dan perlu dimasukan ke dalam wad untuk pengawasan dan pemeriksaan lanjut. Tiga hari, rumah emak tiada orang. Ayah tinggal bersama adik bertiga. Pastilah sunyi.

Emak juga tidak tahan tinggal di dalam wad, dari elok demamnya, menjadi demam kembali. Malam mengigil dek sejuknya penghawa dingin wad! Adik kedua si tukang jaga hampir sikit sahaja mahu jadi orang eskimo.

Alhamdulillah, malam tadi emak dibenarkan keluar.

——————

Apa signifikannya menceritakan semuanya di sini? Jujur, saya pun tidak ada jawapan yang pendek dan ‘straight to the point’. Cuma hari ini, dalam cuaca berangin (ala-ala terasa seperti musim winter) hati membentak mahu menulis panjang, dan jari-jari pun menari laju di atas papan kekunci Mac Book ini (ok, MacBoy sikit-sikit, ada masalah?)

Ini antara peristiwa besar dalam hidup saya yang sudah berlaku dari dahulu sehingga tahun 2013 dan awal tahun 2014 ini. Tiga peristiwa besar ini banyak membuka hati mengenali emak dan ayah juga orang-orang di sisi. Paling besar sekali mengenali diri dan acapkali kata-kata baginda Rasullullah s.a.w menyucuk ke hati ini. Pesan-pesan baginda perihal menjaga hubungan baik dengan ibu dan ayah akan keluar tatkala diri tahu kesilapan telah berlaku.

Allahhurabbi.

Hidup perlu terus …
Soalnya, kita mahu teruskan usaha menjadi insan yang bagaimana?

Aja Fazla adalah 2 individu yang bergabung tenaga dalam satu nama.

Anda suka penulisan ini? Kongsi Di Laman Sosial!
Published inAja FazlaTerbaru

2 Comments

  1. Jumie Jain Jumie Jain

    Hidup dan ujian tak dapat dipisahkan sehinggalah satu titik terakhir yang akan datang nanti. Kak Jumie Jain mendoakan semuanya dipermudahkan buat Abang Kak Aja Fazla :).

    • Aja Fazla Aja Fazla

      Amin.Amin.

      Terima kasih Kak Jumie :).

Leave a Reply