Skip to content

Dan Din Don 1

Assalamualaikum dan selamat sejahtera kepada para pembaca sekalian. Apa khabar? Kak Ju harap semuanya dalam keadaan sihat sentiasa. Sebenarnya hari ini Kak Ju dan team penulis Blink Book baru balik dari sessi brainstorming di The Nahara Resort, Kalumpang. Banyak perkara yang dipelajari di sana. Dan semangat pun berkobar-kobar. hihih. Oleh kerana baru sahaja balik dari sessi ini, secara tiba-tiba (ewahhhh…) Kak Ju pun terasa ingin berkongsi cerita yang sudah lama terperap dalam kotak-kotak simpanan lama.

**

Watak dan nama adalah rekaan semata-mata. Tiada kena mengena dengan yang hidup dan yang sudah meninggal dunia. 🙂

Boxing kampung=Muay Tai

Aku ada seorang sahabat. Namanya kupanggil Don. Orangnya tua dua tahun dariku. Orangnya bersaiz agak besar bagi kanak-kanak sebayanya. Bila besar kemudian, menjelang dewasa, rupanya saiz badannya relatif jadi kecil pula berbanding orang lain. Sejak itu aku tahu pelajaran baru yang sebenarnya kalau kanak-kanak lelaki itu, ketika kecilnya dia bersaiz agak besar dari orang lain, di akhirnya dia sebenarnya tidak lah sebesar mana.

Don ini sebenarnya anak Mak Cik Yam, tetapi kerana satu-satu sebab, dia diserahkan kepada kakak Mak Cik Yam, ku panggil Mak Cik Yah. Sebenarnya ada cerita disebalik penyerahan ini, tetapi ceritanya akan aku ceritakan di lain waktu.

Anak tunggal Mak Cik Yah sudah dewasa ketika itu, namanya Sen. Sudah tidak tinggal di rumahnya. Dan yang menjadi kelakarnya , sebenarnya anak tunggalnya Sen itu tidaklah membesar di rumah Mak Cik Yah, tetapi membesar di rumah Mak Cik Yam. Jadi oleh kerana Sen itu sudah menjadi ‘hak milik’ Mak Cik Yam, dan bukan Mak Cik Yah, jadi sebagai timbal balasnya, Don itu harus tinggal dan tidak akan dibenar izinkan untuk tidur walaupun semalaman di rumah Mak Cik Yam. Anda sudah pening, janganlah mudah pening kawan. 🙂

 

Scenery1

Ketika itu aku berusia 10 tahun dan Don berusia 12 tahun. Don ini penuh dengan aktiviti yang di luar dari alam persekolahan. Banyak juga ilmu survival aku belajar darinya. Sebagai kanak-kanak lelaki, Don ini amatlah berminat dengan ilmu-ilmu mempertahankan diri. Dan aku walaupun aku ini perempuan, tetapi kerana aku ini berkawan dengan Don, jadinya aku pun jadi suka pada benda-benda sebegini.

Don ini pula umurnya sahaja baru 12 tahun, tetapi kerana badannya besar dan dia pula ada abang yang tua empat tahun darinya, jadi kawan-kawannya adalah orang-orang yang juga sebenarnya lebih dewasa darinya. Mungkin kerana dia perasan yang dirinya besar, dan aku pula perasan yang aku ini lelaki, jadi kami bolehlah dianggap sekepala dalam melakukan aktiviti luar sekolah.
Ukiran
Sekiranya ada kelapangan masa, aku selalu mengikuti Don ini ke satu tempat. Dia akan membawa aku ke rumah Pok Nik Li Kayu Buruk. Kenapa nama orang tua itu dipanggil begitu? Nama sebenar pak cik ini ialah Ghazali, tetapi kerana pekerjaan sehariannya adalah mengukir arca dari kayu-kayu buruk, jadi orang memanggilnya dengan nama itu. Sungguh sadis sebenarnya panggilan orang-orang pada orang lain. Arca itu diukir, disyelek dengan varnish, menjadi kilatan anggun membentuk apa-apa sahaja yang kadangkala aku sendiri tidak dapat menafsirkan. Mungkin kerana hasil Pok Nik Li Kayu Buruk itu terlalu tinggi tahap seninya atau mataku yang terlalu buta dalam menilai hasil seni orang lain.

scenery2

Tempat yang akan Don bawaku ialah satu halaman luas. Sebenarnya itu adalah halaman rumah Pok Nik Li inilah. Di tepi rumahnya ada pokok-pokok besar, yang menjadikan kawasan itu satu tempat teduhan. Rumahnya ada pagar mengelilinginya. Ada pondok-pondok kecil yang aku tahu ada haiwan ternakan ayam itik angsa Pok Nik Li. Kali pertama aku ke sana, aku tidak tahu kenapa ada benda-benda pelik di hadapan kawasan rumah Pok Nik Li ini. Ada palang kayu seperti dalam tv yang kulihat orang-orang gimnastik dalam SUKMA gunakan itu. Ada banyak kayu. Dan ada lagi gantungan kayu berbentuk huruf T. Kayu kecil itu digantung pada tali keras. Tali-tali keras itu pula digantung pada dua batang tiang kayu tinggi. Pemandangan yang asing, tapi indah. Pengalaman yang sesekali mengerikan tetapi ada perasaan ingin tahu di situ.

Kalau hari cuti, selalunya hari Sabtu, aku akan ikut Don ke sana. Kawan-kawannya rupanya sudah siap menunggunya. Aku selalunya akan duduk di tepi sahaja kerana aku rasa takut pula melihat lelaki-lelaki gagah perkasa juga ada di sana.

“Duduk sini je, jangan pergi mana-mana,” begitu arahan Don, lagak seorang suami memberi arahan pada sang isteri.

Aku pula lagak sang isteri patuh, boleh pula tercongok dan melihat mereka beradu tenaga.

Kali pertama aku tiba, Pok Nik Li mengerling pada Don, bagai menanya siapa aku. Si Don ini hanya sengih-sengih. Dan aku jadi geram. Kerana aku juga ingin belajar perkara sama dengannya. Lagipun dia yang bawa aku ke sini selepas aku menang pertandingan basikal tadi.

“Kenapa datang sini?” Pok Nik Li hampir padaku. Dia senyum. Wajahnya memang lembut. Kalau orang tidak tahu dia, agaknya orang akan kata dia ini pijak semut pun tak mati. Sudahlah badannya pun agak kecil, umurnya dalam 40-an.

“Mahu lihat sahaja,” aku balas pendek. Sebenarnya mahu sahaja ku balas begini, “Nak belajar juga, sebab Don dah janji,” tapi ayat itu tak terkeluar, dan hanya berada di hujung anak tekak.

“Hari ni je datang, esok jangan datang lagi. Ini untuk budak lelaki sahaja ya,” lembut tapi tegas Pok Nik Li menutur. Aku telan liur. Melepaslah aku, tapi tak apa, aku akan tetap menonton. Kawan-kawan besar si Don sudah tersenyum-senyum sumbing. Ada yang kenyit-kenyit mata. Aku balas jelir lidah pada mereka. Mesti mereka akan cakap kurang asam boi betul budak kecik ini. Yang sebenarnya budak-budak itu kini sudahpun menjadi kawan-kawan aku, yang akan menolong aku pula pada satu hari nanti.

Jadi bermula hari itu, aku melihat si Don dan kawan-kawan besarnya berlatih seni mempertahankan diri. Namanya boxing kampung. Tapi kini dikenali dengan nama Muay Tai. Jadi sebenarnya kalau orang zaman kini kenal Muay Tai, aku sudah kenal lebih lama boxing itu. Sejenis seni mempertahankan diri yang tangkas dan pantas.

“Tidak akan ada upacara lumur minyak.”

“Tidak akan ada upacara mula-mula.”

“Kita belajar ini hanyalah untuk mempertahankan diri kita, jadi tidak akan ada semua-semua benda tu..” Pok Nik Li akan menutur ayat sebegini sebelum memulakan sessi latihannya.
Sebenarnya upacara-upacara itu seperti juga seni silat, ada adat-adat untuk memulakannya, tetapi Pok Nik Li tidak mahu mengajarkan itu kepada anak-anak buahnya.

Selalu aku mendengar kata-katanya, ” Jangan sesekali mulakan pergaduhan. Jangan cari pasal dengan orang lain,”. Banyak lagi nasihatnya yang masuk dalam tempurung otakku, walaupun aku sekadar menjadi sang pemerhati setia di bawah rimbunan pokok, sambil makan segala buah-buah yang ada dengan sesekali terkekeh-kekeh ketawa sendiri.
Buah1
Aku selalu melihat Don akan berlawan dengan Si Seman anak Mak Cik Munah. Semua orang harus sentiasa berwaspada setiap saat. Ini kerana Pok Nik Li ini akan sentiasa membawa kayu panjang dan berdiameter 5 cm di tangannya. Kayu ini digunakan untuk menentukan ketangkasan mata anak buahnya. Sesiapa yang lalai, alamat akan kenalah dengan kayu ini apabila gagal mengelak gerakan kinetik yang kupanggil hayunan-benjolan-adoi-sakit-lima-hari ini. Pok Nik Li akan menentukan siapa lawan siapa.

Kayu-kayu di halaman tadi sebenarnya untuk melatih kekuatan bahu sang perajurit-perajurit muda itu. Bagai-bagai bentuk dan jenis latihan yang dilakukan adalah berdasarkan pada kayu-kayu itu. Kadang-kadang aku jadi tergelak sendirian melihat abang kepada  Don yang badannya besar itu berusaha meliuk lentukkan badannya. Rupanya seni meliuklentukkan badan itu perlu dalam mana-mana seni mempertahankan diri manapun. Sebenarnya seni itulah yang diperlukan untuk menghalang dari terkena apa jua serangan tidak dijangka.

Kayu huruf T tersangkut di tali itu pula untuk latihan regangan tangan. Mereka akan menghayun-hayun badan sendiri, atau kaki mereka akan diletakkan besi berat segenggam dan hayunan-hayunan itu menguji pula kekuatan tangan masing-masing. Sekali lagi aku akan ketawa melihat ada antara mereka yang tergolek-golek jatuh dan berpusing gaya ultraman mengelak dari serangan raksasa.
utmn
Aku akan duduk memerhatikan sahaja perbuatan mereka. Hendak ikut serta sudah tentu tidak diberi keizinan oleh Tuan Guru Pok Nik Li ini. Hendak sahaja aku ini menjadi Tun Teja, menyamar berpakaian lelaki, letakkan misai-misai sedikit di atas bibir, dan pakai baju hitam macam samurai ninja atau beli saja baju silat, dan masuk dan join aktiviti mereka itu.Namun semua itu hanyalah bayangan dan khayalanku sahaja kerana sudah pasti Pok Nik Li itu tidak akan menerimaku sebagai anak muridnya pun. Sejak itulah aku berazam akan menyertai mana-mana seni mempertahankan diri, walaupun Pok Nik Li ini tidak sudi pun mengambil aku sebagai anak muridnya. Sebenarnya Pok Nik Li ini bertindak bijak, masakan dia akan membenarkan aku menyertai sekumpulan budak-budak kampung ini kerana mereka ini bukanlah lawanku. Seni boxing itu sebenarnya pantas, dan laju dan bagai-bagai lagi yang terlalulah tidak sesuai sekali untukku. Err, hakikat tetaplah sebuah hakikat, walaupun perit bak peria untuk ditelan.

Fikirku waktu itu, aku harus belajar seni ini. Sudah jatuh tahap wajib. Aku perlu tahu bukan untuk menunjuk pandai, atau mencari gaduh walaupun aku seringkali juga bergaduh dengan si Don atau si Rudy kawanku yang seorang lagi itu. Aku perlu tahu supaya aku senang mempertahankan diriku dari sang penjahat macam dalam tv yang sering aku lihat itu. Aku jadi benci apabila melihat perempuan-perempuan berskirt itu yang terpekik terlolong apabila ada orang yang mencuri beg tangannya. “Tolong! Tolong!” dan kemudian berjurai air mata,  tidak tahu hendak berbuat apa-apa apabila ada sang penjahat mengacau atau mengusik-ngusik mereka. Aku jadi fobia melihat mereka menangis begitu-begitu sahaja. Tidak ada tindakan. Fikiran kanak-kanakku tidak dapat memahami kenapa reaksinya begitu. Kenapa tidak dilawan sahaja mereka-mereka yang jahat itu. Bukankah kita juga punya kaki untuk juga terbang melawan sang penjahat-penjahat itu. Ketika itu, aku masih tidak terfikirkan lagi yang tenaga itu tidaklah sama antara lelaki dan perempuan. Allah sudah jadikan yang lelaki itu pelindung dan perempuan itu seperti teduhan, untuk dilindungi. Fikiran kecilku masih tidak mampu menangkap perbezaan-perbezaan yang telah menjadi hukum itu. Fikiranku masih juga menganggap semua sama ada lelaki atau perempuan itu sama sahaja sifatnya. Sedangkan hakikat sebenarnya jauh dari itu. Perempuan itu yang namanya perempuan itu tidak ada hormon testosteron dan lelaki yang namanya lelaki itu tidak ada hormon yang namanya estrogen. Atau kalaulah susun atur dan nisbah hormon itu sudah bungkal balik, itulah yang jadinya manusia itu berubah menjadi transeksual ataupun juga pengkid. Mujurlah tahap kegilaan aku tidak sampai ke tahap itu dalam menyedari hakikat yang Allah telah tetapkan.
tkw
Berkawan dengan Don memberikan aku pelajaran baru. Pelajaran seni mempertahankan diri. Dari situlah aku minat akan hal ehwal seni itu. Hingga akhirnya apabila aku berpeluang memilih, antara sukan ini ketika di sekolah menengah atasku. Aku telah memilih seni Tae-Kwan-Do. Sekali lagi bukan untuk aku mencari lawan, tapi kerana masih ada saki baki dalam diriku, bahawasanya siapapun kita, kitalah yang akan menjaga diri kita sendiri, selain yang tentunya Yang-Maha-Penjaga. Tidak ada salahnya mempelajari seni ini selagi aku masih dapat membezakan yang mana seharusnya menjadi diriku dan bahagian mana pula yang akan menjadi pertahanan terakhir diriku.

***

Okeylah, dah terlebih haul panjang dah. Siapa di sini mahu tahu kisah Dan Din Don ni lagi? ^_^

Anda suka penulisan ini? Kongsi Di Laman Sosial!
Published inJumie JainUncategorized

2 Comments

  1. Fara Novelis Fara Novelis

    sAYA!

  2. Husna Nadhirah Husna Nadhirah

    Saya..!!

Leave a Reply