Skip to content

Cikgu Shukri….

Catatan ala cerpen  ini ditulis pada hari <Khamis, July 03, 2008>. Memori yang masih kekal dalam kotak ingatan. Sempena hari guru minggu ini, Kak Ju ingin berkongsi kenangan dengan guru fantastik, Cikgu Shukri. Mudah-mudahan Kak Ju ada kesempatan menemuinya selepas hilang jejak selepas berbelas-belas tahun meninggalkan alam sekolah menengah rendah. Semoga dipermudahkan…

****

Guru itu pembimbing anak bangsa. Guru itu satu pekerjaan yang paling mulia pada pandangan mataku. Mana-mana gurupun, tetap di panggil Cikgu di pangkal namanya walaupun mereka sudah pencen dan tidak lagi mengajar. Hidupnya akan tetap dipanggil Cikgu. Sejak aku sekolah rendah, sehinggalah aku ke sekolah menengah rendah, malah sampai sekolah menengah atas, aku selalu bertemu dan ditakdirkan mempunyai guru-guru yang baik-baik belaka. Guru yang memang mengajar kerana seluruh kehidupannya sudah terserah pada alam itu. Kalau hendak diceritakan mengenai guru, terlalu banyak yang perlu aku tuliskan tapi kali ini, aku ingin sekali menulis perihal Cikgu Shukri. Cikgu yang bagiku terlalu istimewa.

Cikgu Shukri ini orangnya kecil sahaja. Warna kulitnya agak gelap, mungkin kerana terlalu jauh perjalanan dan panas matahari yang dia lalui ketika pulang dari tempat kami. Dahinya agak jendul. Orang tua ada mengatakan, kalau dahi seseorang itu jendul, orangnya agak pintar dari orang kebanyakan. Dan Cikgu Shukri ini memenuhi piawaian ISO itu. Dia membuka banyak tali-temali kehidupan. Memang dia mengajar aku pelajaran Matematik, tetapi pelajaran ilmu hisabnya itu diselangselikan dengan ilmu kehidupan. Sebenarnya Cikgu Shukri ini mengajar di sekolah menengah di negeri lain, tetapi beliau dengan rela hati berulang alik entah berapa puluh kilometer pada setiap hari minggu untuk mengajar aku dan kawan-kawan dalam kelas tambahannya itu.

Jadi pada setiap pagi Jumaat dan Sabtu, aku tidak boleh bersenang lenang, terbaring kemalasan di tempat tidur. Sama seperti hari persekolahan yang lain, aku harus bersiap-siap ke kelas tambahan itu yang mulanya pada pukul 8.00 pagi sampai 10.00 pagi untuk sessi pertama. Dan pukul 10.00 pagi hingga 12.00 tengahari sessi kedua. Kelas tambahan berbayar ini mempunyai 2 sessi kerana aku belajar Bahasa Inggeris dan Matematik. Kadangkala sessi pagi dimulai dengan kelas Teacher Haleeda dengan matapelajaran Bahasa Inggeris dan kadangkala dimulai dengan Cikgu Shukri dengan matapelajaran Matematiknya. Antara dua, aku memang lebih menggemari kelas Matematik Cikgu Shukri kerana aku akan belajar banyak benda baru.Beliau ibarat Einsten pertama dalam hidupku.

Apa yang istimewa ada pada Cikgu Shukri, yang kelihatan pada mataku ialah pengajarannya yang unik. Selalunya beliau akan mengajarkan kami kaedah-kaedah yang pantas, yang akan menyebabkan kami semua akan dapat menjawab soalan matematik dengan cepat. Sebenarnya matapelajaran matematik ini kuanggap paling mudah berbanding subjek-subjek lain. Kukatakan begitu kerana, sekali kita mengetahui rumusnya dalam kepala, datang soalan yang bagaimanapun, kaedahnya tetap sama. Kita hanya tinggal untuk mengira kembali di atas kertas dan tup, jawapannya akan keluar. Ini berbeza dengan matapelajaran lain, yang kebanyakkannya berdasarkan fakta, terutama Sejarah atau Geografi itu yang para pelajar harus membaca untuk mengetahui segala ilmu-ilmu yang terkandung di dalamnya.

MathsEquation

“Saya tidak dapat mengajarkan kaedah ini di sekolah, dan kamu semua pun tidak akan mempelajari kaedah ini dalam pembelajaran harian,” katanya sambil tangannya laju menulis rumus-rumus itu di papan tulis.
Kami menyalin nota. Matematik di tangan Cikgu Shukri memang amat menyenangkan. Terasa kepala bagai span yang menyerap segala ilmu-ilmu yang dia curahkan yang pasti tidak akan kami pelajari di sekolah harian.

“Tidak kira bagaimana kaedah sekalipun, kaedah tidak penting tapi yang pentingnya,” matanya memerhatikan keseluruh wajah anak-anak murid sebangsa dengannya ini. “Yang penting adalah jawapannya tepat dan pantas,” dia menyambung.Lagipun pada peringkat umur sebegitu, ujiannya masih dalam bentuk objektif. Matanya kembali menatap wajah anak-anak kecil ini. Dia bersemangat mengajar, apabila dia sendiri melihat anak-anak itu rela mengorbankan pagi hari minggu mereka dengan datang ke kelasnya.
“Apabila kamu semua dapat menjawab dengan pantas tapi tepat, masa selebihnya boleh digunakan untuk semakan semula jawapan,” dia menegaskan kembali.

“Tapi…..”

“Jangan pula masa berbaki itu digunakan untuk tidurrr,” kembali dia menyambung nasihat keramatnya.

Jadi, masa satu jam tiap-tiap pagi minggu terasa seperti terlalu cepat berlalu. Tidak pernah ada perasaan mengantuk di hatiku, mungkin juga semangat yang sama dirasai teman sekelasku yang lain.

Ya seperti semua orang sedia maklum, matapelajaran Matematik itu hanyalah solution. Tidak kira kaedah atau rumus yang bagaimana sekalipun, asalkan jawapannya ditemui, kaedah yang mana satu digunakan tidak perlu dipersoalkan lagi.

Cikgu Shukri menunjukkan cara-cara yang seharusnya kami para pelajarnya ikuti kaedah spesifik tertentu mengikut syllabus pelajaran, yang amat singkat jalan kiranya itu, kami akan segera jadi kagum dan tambah menikmati pelajaran ini. Di sebelah kaedah yang sama, dia akan segera membandingkan kaedah yang biasa digunakan di sekolah.

“Kenapa tidak diajarkan saja cara ini di sekolah, kan lebih mudah,” rakan sekelas bertanya.

“Tidak boleh diajarkan cara ini di sekolah biasa, ” dia menjawab menambahkan kehairanan di hatiku. “Guru-guru perlu mengajar mengikut kaedah yang ditetapkan kementerian.” Jawapan ringkas tapi akhirnya kami faham. Karenah birokrasi itu berada di mana-mana. Memang pada waktu itu aku sendiri merasa alangkah ruginya kerana kaedah ini tidak diajarkan di sekolah kebangsaan, tapi tidak tahu mengapa, tidak pula persoalan ini diajukan terus terang lagi pada Cikgu Shukri. Tapi akhirnya aku faham mengapa hal ini mungkin berlaku. Kebarangkaliannya mungkin saja seperti ini. Ya di sekolah kebangsaan itu, murid-muridnya adalah dari pelbagai latarbelakang pemahamannya, jadi tidak memungkinkan kaedah cara pantas diajarkan. Sekiranya diajarkan juga, langsung menjadi ketidakadilan pula pada sebahagian kelas.

MathsTangen

“Dan jangan ditunjukkan cara ini pada guru kelas. Kalau di kelas itu, buatkan sahaja mengikut ajaran guru kelas kamu.”

“Yang penting, kita melakukan kaedah ini dengan matlamat cepat menjawab soalan, dan bukan mencabar guru.” Amanatnya diteruskan. Dan kami terus mendengar.

Jadi sepanjang tiga tahun pembelajaran dalam matapelajaran matematik itu, kami sebenarnya telah melakonkan seperti tidak ada apa-apa yang kami tahu selain dari apa yang Cikgu kelas ajarkan. Di kelas harian, kami masih juga melakukan kaedah seperti diajarkan oleh guru-guru sekolah kebangsaan, di hari minggu kami belajar kaedah yang lebih senang, malah pantas. Yang pasti kami akan menggunakan kaedah Cikgu Shukri ini apabila menjawab soalan peperiksaan. Dan memang hasilnya, murid-murid Cikgu Shukri yang dari kelas-kelas berbeza itu akan menunjukkan prestasi yang mengesankan.

Apa yang mengagumkan aku, selain dari pengajiannya yang dirasakan amat mudah, selalu dalam kelas-kelasnya akan ada nasihatnya yang makin membakar jiwa.

Kelasku itu berada di hujung bangunan sekolah. Sederet bangunan setingkat, agak sedikit usang berbanding blok-blok lain di bahagian hadapan pintu pagar utama sekolah. Berdekatan pagar belakang yang kecil, bersebelahan padang tempat anak-anak bersukan. Di sekeliling padang bola itu, tersusun pokok besar-besar, yang aku sudah lupa namanya. Pokok-pokok ini ketika berbunga, menghasilkan pemandangan yang indah kerana akan diseliputi oleh bunga-bunga kuning kecil. Dari kejauhan, kelihatan seperti musim bunga dan berada di negara mana-mana yang mempunyai empat musim itu. Pokok-pokok besar itu menjadi teduhan di sepanjang jalan kecil itu yang di penghujungnya adalah asrama sekolahku. Asrama di mana sebahagian teman-temanku di kelas harian menetap di penggal persekolahan. Di kawasan asrama sekolahku itu juga terletaknya Pejabat Pendidikan Daerah (PPD). Jadi di pangkal jalan berbatu itu, ada pintu pagar besar yang akan ditutup menjelang maghrib, bagi menjaga keselamatan anak-anak pelajar yang tinggal di asrama sana. Tapi sebelum dapat memasuki kawasan PPD dan asrama sekolah itu, ada lagi satu pintu pagar kecil terakhir.

Tree

Di sepanjang jalan dari pintu pagar besar di muka jalan besar itu sehingga ke penghujung asrama itulah, pohon-pohon berbunga kuning itu berada sejajar. Menjadikan perjalanan tidak terasa terlalu panas walaupun jaraknya agak jauh kalau berjalan kaki, mungkin dalam 28 minit kalau berjalan lenggang kangkung atau 15 minit kalau berjalan seperti lipas kudung. Landskap yang indah dan menyejukkan pandangan sesiapa saja yang berada di situ.

Di bawah jejeran pohon-pohon teduhan inilah, selalunya sampah atau daun-daun pokok yang telah gugur berserakan. Sampah itu tidak lain tidak bukan tentu saja dibuang oleh pelajar-pelajar yang tidak mempelajari subject Pelajaran Moral, senang-senang melemparkan sampah sarap, mungkin dari pembalut gula-gula, pembalut aiskrim, atau sebarang pembalut mainan lompat tikam yang dibeli dari penjaja-penjaja di luar pagar sekolah ketika berjalan untuk keluar dari pagar besar di muka jalan. Berjenis-jenis bahan buangan. Kadang-kadang juga segala benda-benda yang tidak masuk akal pun secara tiba-tiba kelihatan berada di sudut-sudut tertentu sepanjang jalan itu. Iya, tetiba ada meja pelajar yang robek atau patah satu kakinya tercampak di sana. Atau ketika sepuluh minit perjalanan pula ada pula kerusi patah dalam keadaan tertonggeng. Landskap alam semulajadi ciptaan Tuhan yang indah, tapi kadangkala tercemar dengan pemandangan tidak menarik itu, gara-gara ada makhluknya yang tidak peka pada persekitaran. Atau juga menandakan tidak ada kesempurnaan dalam dunia ini. Seperti kebaikan yang ada kalanya tertumpuk keburukan sebagai lawannya,seperti itulah keindahan tercemar dengan kejelikan pemandangan.

kutip-sampah

Tapi dari sudut pandang lain, ketidakseimbangan itu sebenarnya menjadi rahmat pada sebahagian orang. Orang-orang yang dengan adanya mereka dengan tanggungjawab besarnya kembali membersihkan segala kotoran dan sampah sarap itu supaya pemandangannya kembali sedap dipandang mata. Orang-orang yang mungkin kehadirannya dalam masyarakat tidak disedari pun, tapi tanpa mereka, pasti pemandangan alam ini makin hari makin teruk. Seolah mempamerkan diri-diri manusia hari ini yang semakin hilang asas agama dan jati dirinya. Orang-orang yang mendapatkan nafkah sehariannya dengan mencuci, menyapu, menebas atau segala adik beradik pekerjaan seumpamanya itu, yang peluhnya akan berjejeran di bawah terik matahari, yang matanya kadangkala selalu dimasuki habuk-habuk jalanan, atau hidungnya yang harus dipekup rapat agar tidak mengeluarkan muntah hijau saat kerja-kerja pencucian kotoran dijalankan.

PakCikTua

“Lihat di sana,” tangan Cikgu Shukri menghala ke luar, mengarahkan semua mata yang dari tadi khusyuk mengadap latihan memperbaiki skill-skill pemprosesan otak, menyambung neutron-neutron dari saraf-saraf medula olangata ke satu arah yang beliau tunjukkan.

Dari balik tingkap nako kami melihat, seorang lelaki warga tua, yang terbongkok-bongkok mengutip barangan besar yang secara tiba-tiba ada itu. Aku kenal pak cik tanpa nama itu. Dia selalu kelihatan menebas-nebas lalang yang makin tegak meninggi, atau sekadar menyapu daun kering yang jatuh atau sampah sarap buangan manusia-manusia lain.

“Apa perasaan anak-anakku melihat itu?” Cikgu Shukri bermain psikologi.

Diam. Mata tidak lepas dari memandang pak cik tanpa nama itu. Tenaga kinetik yang dipamerkan jelas menunjukkan dia bukan lagi layak untuk pekerjaan seperti itu.Jelas terpamer kelelahan di wajahnya yang berkedut menandakan dia bukan lagi muda belia.

“Kasihan?” perkataan itu sengaja ditekankan.

Sebilangan pelajar mengangguk, sebahagian lagi tidak menunjukkan sebarang reaksi fizikal walaupun pasti emosi di dalam mengiakan kata-kata cikgu ilmu perkiraan itu.

“Kalau anak-anak tidak mengambil kesempatan masa ini untuk belajar, anak-anak ingin menjadi seperti itukah satu hari nanti?” ilmu psikologi kalau digunakan secara tepat dan kena pada masanya memang bisa menjadi ubat mujarab.

Serentak kepala-kepala menggeleng.150 darjah barangkali. Masih juga ada yang tidak menunjukkan sebarang reaksi fizikal walaupun pasti emosi di dalam juga mengiakan kali kedua amanat keramat cikgu ilmu kira-kira ini.

“Pekerjaan itu memang mulia…..”

“Tetapi kalau anak-anak ingin berehat-rehat, bersenang-senang di waktu ini, tidak mustahil nasib anak-anak akan seperti pak cik itu,” Cikgu Shukri menyambung.

“Mungkin zaman pak cik itu tidak semudah, tidak seberuntung seperti zaman anak-anak semua, jadi bukan salah dia…”

Ya, bukan mudah sebenarnya menyatakan kebenaran, tapi itulah hakikat kehidupan. Aku tahu maksud Cikgu Shukri, dia bukan sekali-kali meletakkan gred-gred tertentu pada apa jua kelas pekerjaan, tapi dia ingin memberikan semangat pada kami, motivasi melawan kehendak satu lagi yang mungkin terasa enaknya bersantai-santai di pagi minggu tanpa perlu meletihkan akal fikir lagi setelah seminggu bersekolah.

“Anak-anak terasa ingin menolong pak cik tua itu?” soalnya lagi. Memandang satu persatu-satu sekalian pelajarnya. Meneruskan kuliahnya.

“Ya, kalau satu hari nanti, anak-anak sudah berjaya, sudah kerja bergaji besar, gunakan itu semula untuk membantu pak cik itu.Itulah yang lebih afdal.” Seperti aku katakan tadi, Cikgu Shukri bukan sahaja mengajar ilmu kira-kira, tapi beliau mendidik anak-anak bangsanya ilmu kira-kira kehidupan. Besar pahala yang tidak putus-putus diterima oleh Cikgu Shukri selama hayatnya, juga ketika dia di alam sana nantipun, pahalanya akan tetap mengalir, kerana banyak sekali pesannya pada anak-anak muridnya. Pesan yang datang seikhlas hatinya itu juga, memang membekas pada hati anak-anak didiknya.

Sessi kuliah berlanjutan. Cikgu Shukri di mataku bukan lagi guru kira-kira tapi berubah bagai seorang ustaz berjanggut sejemput,memakai jubah panjang putih, berkopiah putih bersih, memegang tongkat, berada di mimbar masjid sedang memperdengarkan khutbah jumaat sebelum solat jumaat di hari jumaat.

MathsLife

“Tidak semua orang bernasib baik, bersekolah, dihantar kelas tambahan, hargailah peluang ini.”

“Tangan yang di atas itu lebih mulia dari di bawah.”

“2.5 % zakat yang dikeluarkan itu tidak mengurangkan kekayaan material anak-anak sekalian.”

“Sedekah jariah yang diberikan kepada yang selayaknya itu dapat membasuh hati anak-anak dari segala kotoran dunia.”

Atau ketika pada waktu-waktu tertentu, kalau kami mendengar pula loceng penjual aiskrim, atau motor pak cik India penjual roti, dialog yang sama diutarakan. Dan kami tidak pernah jemu-jemu tetap mendengar, walaupun orang yang menjadi subjek motivasi itu selalu bertukar rupa.

Namun ada satu lagi nasihatnya yang menjadi pembakar semangatku menjadi nyalaan api yang terbakar kuat dalam hatiku.

Satu pagi, ketika kelas transit antara slot Bahasa Inggeris dan Matematik, aku masuk awal ke kelasnya. Ada beberapa orang pelajar lain juga ada yang awal sepertiku, tetapi yang berbeza mereka tidak mengikuti kelas Teacher Haleeda.

“Hany, sekejap,” panggilnya. Tangannya melambai ke arahku supaya hampir pada mejanya. Aku suspens. Berjalan cepat-cepat ke arahnya.

“Ya Cikgu,”

“Cikgu nak cakap sikit dengan Hany,” matanya berselang seli sekejap-sekejap ke arah beberapa orang rakan lain yang membuat hal masing-masing dan sekejap-sekejap ke arah buku di depannya. Tangannya menandakan tanda ‘right’ pada kotak-kotak menandakan kehadiran para pelajar. Kehadiranku di buku itu semuanya penuh, tiada telur ayam pun.
Aku berdiri di tepinya menunggu kata hikmat seterusnya.

“Hany, jangan lupa ambil kelas sains pilihan nanti ya,” Cikgu Shukri senyum. “Nanti pilihan kerja luas.”

Aku senyum dan mengangguk. “InsyaAllah cikgu.”

“Cikgu lihat Hany ada potensi. Jangan sia-siakan peluang.” Cikgu Shukri kali ini memandang tepat ke arahku. Lalu menyambung “Kalau akhirnya Hany minat juga pada bidang sastera, itu boleh diuruskan kemudian hari.”

Dan seperti hari-hari sebelumnya, dia memberikan aku kata-kata nasihat dan motivasi sehingga pelajar semakin ramai di dalam kelas. Aku beredar ke tempatku hari itu dengan semangat yang berkali-kali ganda banyaknya dari kebiasaan.

Sehingga akhirnya aku telah pindah sekolah seperti apa yang diinginkan oleh Cikgu Shukri, aku sudah tidak bertemu dengannya lagi, guru terhebat itu, apalagi sejak ibu bapaku berpindah dari situ. Sebelum ibu bapaku berpindah, sesekali ketika adikku tetap menggunakan khidmat Cikgu Shukri, aku menghantar cenderahati atau kad ucapan kepadanya melalui adikku. Sehingga adikku sendiri sudah tamat sekolah menengah rendah aku langsung sudah terputus hubungan dengannya. Namun ingatan dan pesannya masih aku ingat sampai hari ini….

teachers-day-001 *Tanpa guru-guru, siapalah kita… Happy Teachers Day…..

http://www.facebook.com/jumiejain.blink

Published inJumie Jain

4 Comments

  1. elle elle

    Salam… dia ada tak buat aksi gadis oenjual bunga.. dgn bunga terselit di telinganya.. atau aksi makcik penjual keroppok? kitaorang dulu pecah berderai bila dia buat lawak macam tu…
    Dulu dia selalu ceirta, dia support adik dia yang belajar kat luar negara..
    Selalu tertanya-tanya apa kesudahan adik dia.. sangat bertuah ada abang macam tu..
    NAma penuh dia tau tak..? Nak buat jejak kasih.. jasa cikgu tiada tandingannya….

Leave a Reply to Lina CtNurshazalina Cancel reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *