Ada yang sedang bergosip hal duniawi. Ada yang lena diulit mimpi sehingga meleleh air liur basi. Ada yang sedang bermain tepuk amai-amai sesama sendiri. Riuh rendah pelajar-pelajar kelas 4 Beta itu tidak ubah seperti suasana di pasar malam minggu.
“Cikgu datang, cikgu datang!” Keadaan kelas serta merta bertukar rupa. Pelajar-pelajar bijak menggunakan skil lakonan mereka. Diletakkan buku di atas meja konon-kononnya mereka sedang sibuk mengulang kaji pelajaran semasa ketiadaan guru di dalam kelas. Kelihatan guru Bahasa Inggeris itu mula melangkah masuk ke dalam kelas.
“Stand by! Good morning teacher!” Bergema ucapan salam yang diikuti oleh 30 orang pelajar.
“Good morning, class. Stand up, bukan stand by, Aiman. Ingat ya?”
“Eh, tersilap pula. Sorry teacher. Hehehe…” Aiman tersengih-tersengih seperti kerang basi saat menyedari kesilapannya. Mukanya merah padam menahan malu.
“Boo…Perkataan asas begitu pun awak boleh salah. Macam manalah awak boleh dilantik menjadi ketua kelas? Pasti awak menggunakan rasuah untuk mendapatkan jawatan ini.”
“Diamlah! Eleh, kalau sudah tahu salah, mengapa awak ikut sahaja? Sebenarnya awak pun tidak tahu, bukan?” Aiman mula menjelir lidah ke arah pelajar bermata sepet itu.
“Sudah! Sudah! Jangan bising! We are going to start our class today. Today, we are going to learn about proverbs. Can anyone tell me what is a proverb?” Cikgu Farihah menenangkan para pelajarnya dan memulakan sesi pembelajaran.
“Proverb is masalah, teacher!”
“Itu problem! Proverb is bukti, teacher!”
“Itu prove! Proverb is robot teacher!”
“Itu probe! Proverb is….”
“Stop! Stop! Jangan merepek lagi. A proverb is a simple and concrete saying that expresses a truth based on common sense or experience. Dalam bahasa Melayu, lebih kurang samalah dengan peribahasa.”
“Oh.. peribahasa… Senang sahaja teacher!”
“Okay, can anyone give me an example of a proverb?”
“Me teacher!! Me!”
“Yes, Arina?”
“As clever as squirrel jumping, finally fall on the ground also.”
“Boo… Itu peribahasa Bahasa Melayu! Mana boleh suka-suka hati tukar menjadi robot. Eh, proverb!
” Calm down, class. Ok, how about you, Alif?” Pening kepala dibuatnya guru itu melayan kerenah pelajar-pelajarnya.
” Ini Aliflah. Bab peribahasa ini memang celah gigi saya sahaja! Ehemm, for example, like a bean forgetting skin.”
“Teacher, teacher! I want to help!”
“Yes, sure.”
“Err… Err… Maaf, tengok muka cikgu yang jelita bak puteri kayangan terus jadi tergagap hendak bercakap. Hehehe.”
” Ada-ada sahaja kamu ini. Cepat beri satu contoh.”
“For example, I hate Alif because i give betis but he want peha.” Faizal membuat ayat berbaur usikan sambil menjeling ke arah Alif.
” Sudah, sudah! Peribahasa yang kamu semua bagi itu semuanya diterjemahkan secara langsung daripada Bahasa Melayu.”
“Yes, you are right teacher! Apalah si Faizal ini. Peribahasa diberi betis hendak peha dalam Bahasa Inggeris pun tidak tahu. Lain kali belajarlah dengan saya yang memang mahir dalam proverb ini. Menyusahkan orang sahaja!” Alif mula membuat serangan balas terhadap usikan Faizal sebentar tadi.
“You shut down!” Faizal kelihatan sudah hilang sabar yang merupakan separuh dari imannya apabila terus-terusan diperlekehkan.
“Shut down??? ” Tercengang setiap insan di dalam bilik darjah itu saat mendengar perkataan yang disebut Faizal. Seketika, berderai ketawa bercampur air mata pelajar-pelajar 4 Beta dan guru Bahasa Inggeris itu saat mereka mula dapat menangkap perkataan sebenar yang cuba disampaikan Faizal. Alahai, boleh sakit jantung dibuatnya guru Bahasa Inggeris itu kerana terpaksa melayan telatah pelajar-pelajarnya!
nice👍🏻