Skip to content

PENDAKWAH DIVA

Melihat seorang remaja lelaki mengenakan seluar pendek, mulut tidak dapat dikunci. Kena tegur juga!  “Hey awak, dekat rumah sudah kehabisan seluar panjang ya? Sudah akil baligh  masih berseluar pendek macam budak kecil. Kenapa tidak pakai lampin sekali?”

“Awak siapa, ya? Sudahlah tidak beri salam.” Lelaki itu menoleh ke arah remaja perempuan sebayanya.

“Maaf, ini bukan sesi berkenalan. Jangan tidak tahu ya, aurat awak yang terdedah itu nanti di akhirat akan dicelup dalam api neraka. Panas dunia pun sudah tidak tahan sampai berseluar pendek, inikan pula panas api neraka. Aduhai lemahnya iman… kasihan sungguh!” Ezra tersenyum sinis.

“Euw, bulu kaki awak yang lebat macam hutan belantara itu juga menyakitkan mata saya dan orang awam. Butalah kami nanti!” Remaja itu tergamam tidak terkata apa-apa. Mungkin tersentap dengan cara Ezra menegurnya.

“Kalau hendak menegur sekali pun, biarlah berlapik. Awak ingat dekat neraka sana semua orang buka aurat sahaja yang ada? Orang mulut celupar macam awakpun ada.” Malas mahu melayan kerenah budak entah apa-apa tiba-tiba menegur caranya berpakaian, dia terus pergi meninggalkan Ezra seorang diri.

“Tegur sikit sudah sentap. Itu baru manusia yang tegur. Belum rasa lagi Allah tegur di akhirat kelak.” Tudung dilibas tanda kemenangan buatnya.

“Eh, mana Kisha ya?” Mata melilau mencari sahabatnya. Sudah dua jam menghilangkan diri. Entah-entah dia telah diculik oleh… pembunuh? Oh, tidak!

“Kisha! Kisha! Where are you?!” Semua orang memandang pelik ke arah Ezra yang terlebih dramatik. Berlakon bukan main, nanti bolehlah jadi pelakon terbaik!

“Ezra, saya di bahagian tudunglah!” Kisha melambai tangannya memberi isyarat bahawa dirinya di situ. Lega hati Ezra mendengar sahutan daripada Kisha.

“Kisha, marilah kita pulang ke rumah. Kaki saya sudah lenguh temankan awak membeli-belah. Takut bengkak pula kaki saya yang seksi ini.”

 

@@@

 

Keesokannya, satu sekolah kecoh bergosip fasal Ezra. Di mana-mana dia berada pasti dijauhi. Sampaikan ada yang diserang histeria! Pelik juga dengan fenomena itu.  Apakah yang sudah terjadi sebenarnya? Ezra dan Kisha mula berasa hairan dengan reaksi penuntut Sekolah Sri Bangsar. Termasuk Cikgu Amnah yang berjambul kembang turut lari lintang-pukang apabila melihat kelibat dirinya. Ah, biarlah!

“Kisha, marilah kita ke kantin. Perut saya ini sudah kedengaran rentak lagu Pop Korea, merayu minta diisi nasi lemak Mak Cik Sharepah. Harapnya ‘lemaknya’ hari ini kurang sikit.” Mereka berdua berjalan gaya ‘catwalk’ seiring sejalan seindah bunga di taman sampai ke kantin.

Sampai sahaja ke kantin, keadaan yang riuh-rendah sunyi serta-merta. Fazura ahli The Wannababes mengambil inisiatif ini untuk menanyakan soalan yang sejak tadi menjadi topik perbualan hangat di sekolah. “Ezra, betulkah awak ini pengamal ilmu hitam? Lebih baik awak berambus dari sekolah elit ini. Tidak fasal-fasal kami ahli Thewannababes yang cantik-cantik belaka ini jadi mangsa.”

“Siapakah yang kata? Amboi, mulut tiada insuran. Sila meninggal.” Ezra bengang dituduh mengamalkan ilmu hitam. Manakan tidak, itu ialah perbuatan terkutuk! Tiba-tiba figura yang amat dikenali mengangkat tangan.

“Awak ini lelaki semalam itu, bukan?” Ezra mengawal diri daripada perasaan marah, lantas dia berdiri di atas meja kantin berhampiran tempatnya berdiri demi meraih perhatian orang ramai.

“Saya gadis ayu dituduh mengamalkan ilmu hitam? Tolonglah! Tengok filem Dukun pun sudah pengsan, inikan pula menyembah makhluk laknatullah?” Semua orang terdiam seribu bahasa.

“Habis itu kenapa tiba-tiba awak berubah drastik? Mesti ada sesuatu ini.” Seorang pelajar nakal cuba untuk menafikannya tetapi terkena balik pada batang hidung sendiri.

“Suka hati sayalah! Awak ingat sudah masuk dalam kubur nanti saya ada masa hendak bertaubat?” Ezra  menjeling tajam kearah pelajar tersebut.

Ezra menarik nafas panjang dengan keluhan berat. “Mulut awak itu macam lubang jamban saja. sudah mendaftar masuk kelab pakcik-pakcik bawang? Dosa memfitnah lebih besar daripada membunuh, tahu!”

Tidak semena-mena lelaki tadi berdiri di hadapan Ezra sambil tersenyum sinis. “Ada saya kisah?”

Dengan suara separa berbisik Ezra berkata, “Whatever, hater’s gonna hate, hate and hate. I shake it off, I shake it off!”

“Untuk pendosa, ketahuilah Allah tidak pernah bagi peluang kedua, tetapi Allah sentiasa beri kita peluang untuk berubah menjadi lebih baik.” Ezra berlalu pergi dari situ dengan linangan air mata.

@@@

Dalam perjalanan pulang dari sekolah, Ezra singgah ke rumah Nenek Jiha. Diceritakan dari awal bagaimana dia boleh bertemu dengan lelaki itu sehingga timbulnya fitnah terhadap dirinya. Nenek Jiha tersenyum sambil menggeleng kepala.

“Ezra, adakah cara kamu menegur itu betul?” Ezra terdiam tidak terkata apa-apa. Dia berfikir sejenak.

“Kalau hendak berdakwah biarlah berhemah dan berhikmah. Contoh terdekat ialah Rasulullah yang elok tutur bahasanya dalam berdakwah.” Nenek Jiha kemudian mengusap lembut tangan Ezra.

“Memang sudah menjadi kewajipan sesama umat islam menegur kesalahan dan kesilapan orang tetapi kenalah berlapik untuk menjaga perasaan orang lain.”

“Baik, Nenek Jiha. Thank you so much!” Mereka berdua berpelukan. Setelah itu Ezra pulang ke rumah dengan senyuman saiz XL. Tidak sabar hendak mencatatnya dalam diari pink muslimah miliknya!

Anda suka penulisan ini? Kongsi Di Laman Sosial!
Published inMentor MenteeUncategorized

One Comment

  1. Wan nur aisyah Wan nur aisyah

    Daebak

Leave a Reply