Skip to content

Bila Dosa Jadi Biasa

Seminggu sudah berlalu sepanjang Program Pertukaran Pelajar antara Sekolah Sri Bangsar dan Sekolah Zara Damansara yang dianjurkan untuk merapatkan ukhwah pelajar kedua-dua buah sekolah ini.

Sepanjang program ini berlangsung, Syarafana tidak mengesan sebarang perbezaan yang ketara antara sekolahnya dan SSB. Melainkan…

Syarafana melirik ke arah dua orang rakan sekelasnya di tingkatan 3F, Insyirah dan Zayani. Pada pandangan Syarafana, dua orang pelajar ini merupakan pelajar yang berani melanggar peraturan sekolah secara terang-terangan.

Setiap hari, Insyirah akan hadir ke sekolah dengan warna mata yang berlainan. Hari Isnin, mata Insyirah berwarna biru, mengambil semangat ‘Monday blues’. Hari Selasa, warna hijau dan seterusnya. Hari ini pula, Insyirah mengenakan kanta lekap berwarna merah seperti jelmaan makhluk mitos penghisap darah manusia, vampire.

Zayani pula sering menyambung rambutnya dengan rambut palsu untuk membuat rambutnya kelihatan lebih panjang serta memakai bulu mata palsu supaya bulu matanya lentik seperti bulu mata unta. Apa yang Syarafana tidak gemarkan ialah Zayani mencukur kening. Kening Zayani dicukur hingga kelihatan terlalu nipis! Silap hari bulan, boleh hilang terus keningnya. Nanti dikenali sebagai Monalisa 2.0!

Walaupun perbuatan Insyirah dan Zayani tidak disenangi Syarafana, tidaklah dia memandang serong terhadap mereka. Pernah juga Syarafana menyuarakan pandangannya terhadap perbuatan gadis-gadis itu tetapi disemburnya kembali. Disebabkan dia menegur, nama sekolahnya turut terpalit sekali!

“Yani, lihat pendakap gigi saya ini. Cantik, bukan?” Insyirah menyeringai, menayangkan pendakap gigi yang mula dipakainya semalam.

“Wah, lawa! Warnanya juga merah, padan dengan kanta lekap awak!” Zayani memuji. “Tetapi… bukankah gigi awak elok terletak? Sejak bila gigi awak jongang mahupun jarang?”

“Gigi saya baik-baik sahaja tetapi sengaja saya mengenakan pendakap gigi ini kerana ia membuatkan saya kelihatan lebih menonjol.” Rambutnya yang ikal dirapikan, membuat lagak seolah-olah dialah ratu cantik dunia. Insyirah tidak berhenti menayang giginya, mahu menunjukkan kepada dunia bahawa dia mempunyai cita rasa fesyen yang tinggi! “Awak pun patut pakai pendakap gigi juga, Yani! Saya pasti, awak akan kelihatan lebih menarik! Pasti ramai lelaki yang akan tertarik. Saya akan kenalkan awak dengan doktor pendakap gigi saya. Doktor ini mudah kerana kita tidak perlu ke kliniknya. Doktor sendiri yang akan datang ke rumah dan pakaikan!”

“Ehem, ehem!” Syarafana yang memasang telinga sedari tadi, menyampuk. “Zayani, tidak perlulah awak memakai pendakap gigi. Bagi saya, gigi awak sudah kelihatan cantik tanpa besi-besi itu. Lagi pula, pendakap gigi dipakai hanya untuk membetulkan kedudukan gigi. Jika dipakai atas tujuan kecantikan…”

“…hukumnya haram! Itu yang awak mahu katakan, Syarafana? Sudahlah! Sudah muak kami mendengarnya! Pakai rambut dan bulu mata palsu, kanta lekap berwarna, mencukur kening… dan sekarang pendakap gigi, semuanya salah! Agaknya awak berasal dari gua, ya? Semua perkara ‘haram’ yang awak sebutkan, orang lain pun buat juga!” Insyirah memotong percakapan Syarafana bersama kata-kata sinis. Sungguh! Pelajar dari Zara Damansara ini sangat kolot! Membosankan!

“Bukankah jika ramai orang membuat perkara yang sama, hukum haramnya hilang? Jadi, apa yang kami buat ini tidak haram! Tidak berdosa! Malah hukumnya sudah jatuh harus!”

Beristighfar panjang Syarafana mendengar bicara dua orang gadis ini. Sesat sungguh pemikiran mereka! Tidak melampau jika dia katakan, Insyirah dan Zayani tidak ubah seperti masyarakat jahiliyah! “Awak berdua jangan jatuhkan hukum mengikut hawa nafsu! Insyirah, setahu saya awak tidak rabun tetapi tetap juga memakai kanta lekap, malah berwarna! Memakai kanta lekap berwarna seolah-olah mengubah ciptaan Tuhan. Zayani, memakai atau menyambung rambut dan bulu mata dilaknat oleh Allah kerana ia tidak ubah seperti perbuatan wanita jahiliyah. Ingat, janganlah jadi hamba fesyen dengan mencontohi perbuatan masyarakat jahiliyah.”

“Haram, haram, haram! Tolonglah segera pulang ke Zara Damansara, Syarafana! Tidak sehari pun hari persekolahan kami aman sejak kehadiran awak di SSB. Ada sahaja yang kami lakukan tidak kena di mata awak!”

“Saya harap, awak berdua akan terima pengajarannya. Sebelum saya beredar, saya mahu awak berdua tahu… tiada doktor yang akan melakukan servis pemakaian pendakap gigi di rumah walau semua harta awak ditaburkan di hadapan mereka. Siasat doktor awak, Insyirah.” Sejurus selepas kata-kata itu, Syarafana berlalu ke tempat duduknya bersama hati yang remuk redam. Dia sangat berkecil hati dengan Insyirah dan Zayani.

@@@@

“Syarafana… saya mahu minta maaf bagi pihak saya dan Insyirah. Jika kami mendengar nasihat awak, pasti perkara sebegitu tidak berlaku kepada Insyirah.” Tertunduk Zayani di hadapan Syarafana. Bersusah payah dia mencari alamat rumah Syarafana selepas beberapa hari program pertukaran pelajar berakhir.

“Apa yang terjadi?”

“Insyirah… giginya tidak secantik dulu. Gusinya bengkak-bengkak dan kedudukan giginya lari dari tempat asal kerana memakai pendakap gigi palsu. Doktor itu rupanya… doktor palsu. Mata Insyirah juga… mempunyai masalah penglihatan disebabkan memakai kanta lekap yang dijual di pasar malam secara haram.”

“Ya Allah…”

“Saya pun tidak mahu lagi membuat perkara yang salah. Disebabkan sering mencukur kening dan memakai bulu mata palsu, bulu kening dan bulu mata saya selalu gugur. Inilah balasan kepada kami berdua. Jikalah kami tidak menghiraukan nasihat awak, Syarafana…” Menitis air mata kekesalan Zayani.

“Janganlah begitu. Ini suratan takdir. Perkara ini turut memberi kesedaran kepada kita mengenai perkara-perkara kecil sebegini yang kita fikir boleh, tetapi sebenarnya salah di sisi agama.”

Anda suka penulisan ini? Kongsi Di Laman Sosial!
Published inMentor Mentee

Be First to Comment

Leave a Reply