Skip to content

Iman Seorang Pondan

Samsung? Euw… what are you talking about? Iphone of course!”

Video parodi itu diulang berkali-kali. Dilihat notifikasi yang masuk, sudah beribu ‘like’ yang diberi. Malah, video itu turut menjadi tular akibat beribu pengikut yang berkongsi.

Ya, begitulah hebatnya penangan Fariz Ruslan si instafamous! Terkenal kerana sering memuat naik video diri berpakaian seperti perempuan, isu semasa sering digunakan sebagai topik hiburan. Kadang-kala, dirinya memakai turban sebesar sarang tebuan. Ada masa, dipakai jubah dan pakaian yang dipinjam dari rakan. Terlebih rajin, Fariz sanggup memakai mekap tebal umpama mahu melancong ke Milan! Semuanya sanggup dilakukan… hanya untuk hiburan dan populariti yang didambakan!

Telefon berbunyi sekali lagi, menandakan ada komen baru yang menyinggah di video parodinya itu. Segera disemak komen tersebut, mana tahu ada selebriti mahupun pengarah tv yang mahu menjemput ke program terkini! Bolehlah diraih populariti segera… barulah mencanak naik pengikutnya!

[daie.onetwothree: Saudara, tahukah anda haram hukumnya saudara berpakaian seperti wanita? Nabi melaknat umatnya yang berkelakuan sebegitu rupa!]

Terkejut Fariz seketika, sehingga terlopong mulutnya sebesar gua! Ini pertama kali di dalam hidupnya, menerima komen dakwah secara tiba-tiba. Malah, di platform yang terbuka pula. Perasaan malu dan geram bercampur baur mendapat komen sebegitu. Dirinya seakan terasa dihina, kerana diberi tazkirah secara percuma!

Lalu, jari rakus menekan papan kekunci di telefon pintar. Dia tidak seharusnya membiarkan komen ini! Dia harus mempertahankan maruah diri!

[itsme.farizruslan: Excuse me… M.Y.O.B! Awak ingat awak Tuhan hendak menghukum saya sesuka hati?]

Tidak sampai beberapa saat, beberapa notifikasi baru memunculkan diri. Fariz segera memeriksanya. Ah, Fariz berasa lega kerana pengikut setia turut sama komen bagi mempertahankan maruah dirinya.

[bawang_hijau: It’s okay, Ros. Haters gonna hate!]
[ariffah.rose: Benci betul dengan ‘ustaz segera’ ini! Kerjanya cari kesalahan orang sahaja, macam kehidupan sempurna sangat!]
[khaizakacak18: Guys, I checked his social media! Dia ini rupanya gemuk. Hahaha!]

Melihat komen-komen pedas yang diberikan, Fariz terasa puas. Tersangat puas kerana mempunyai para pengikut yang setia ‘membantu’ dan menyokongnya dalam apa jua keadaan yang menimpa. Malah, dia yakin bahawa akaun insan yang meberi tazkirah percuma itu pastinya akan ditutup serta-merta… akibat tidak tahan dengan tekanan yang diterima!

Ting!

Telefon pintarnya mengeluarkan bunyi yang berlainan, menandakan satu mesej baharu masuk ke dalam ruangan mesej peribadi.

[Hafis.Hamidin: Assalamualaikum, Ruslan! Ingat saya lagi, tidak? Saya sekarang berada di Sri Bangsar. Jom lepak!]

Senyuman automatik terukir di bibir Fariz tatkala membaca mesej itu. Hafis Hamidin… sahabat lamanya sewaktu di sekolah rendah. Sering digelar ‘belangkas’ disebabkan keakraban mereka berdua. Setelah Hafis berpindah, mereka sudah tidak lagi berjumpa. Jadi apabila peluang menerpa, pastinya Fariz menjadi sangat teruja!

[itsme.farizruslan: Okay, jumpa di Pavi pukul 3 nanti!]

@@@@

“Paling kelakar sewaktu kau menyorok di dalam longkang itu! Macam mana kau boleh tak perasan ada katak, Ruslan?”

Berderai gelak ketawa dua sahabat, mengingati kenangan nostalgia sewaktu kecil. Segala kenangan manis dan lucu, diimbas kembali bagaikan pita kaset yang dimainkan.

Fariz masih lagi seakan tidak percaya, mereka dapat dipertemukan sekali lagi. Malah, sahabat yang dahulunya berpakaian selekeh dan berhingus… kini tampak berbeza dengan kurta serta kopiah yang dikenakannya!

“Eh, tidak perlulah panggil nama penuh. Nama Ruslan itu sudah lapuk… sudah tidak digunakan. Panggil Ros sahaja!” kata Fariz tatkala menyedari nama penuhnya yang disebut sepanjang perbualan.

“Tidak mengapa. Ruslan itu sedap maknanya, iaitu ‘penunjuk jalan’. Sebagai ‘instafamous‘, bolehlah kau ‘menunjukkan jalan’ ke arah kebaikan kepada pengikut kau!” Hafis menjelas maksud nama sahabatnya sambil diselitkan dengan gurauan.

Fariz sekadar tersenyum kelat. Terasa janggal sangat kerana tidak pernah ada memanggil dirinya Ruslan. Malah, ini pertama kali dia mengetahui maksud di sebalik nama yang tertera di kad pengenalan!

“Eh, sudah masuk waktu solat Asar. Jom solat berjemaah!” Hafis mengerling jam tangan sambil menghabiskan air yang berbaki di cawan.

“Err… tidak mengapa. Aku solat di rumah sahajalah,” Sekali lagi, Fariz memberikan senyuman kelat. Sekali lagi, rasa janggal menguasai kerana ini pertama kali dia diajak solat berjemaah.

“Jomlah. Sekejap sahaja, kemudian aku belanja kau makan Baskin Robbin!”

Setelah diasak berkali-kali, akhirnya Fariz tiada pilihan lain selain bersetuju. Sesampai di surau awam, hampir semua mata memandang Fariz seakan dirinya adalah sebuah alien. Fariz kini mula berasa serba salah apabila dirinya diperhatikan dari hujung kaki ke hujung kepala!

“Ish, lelaki tapi bermekap? Dia ingat sah solat agaknya?”
“Mungkin dia terkeliru identiti. Berpakaian umpama wanita walhal jelas-jelas berjantina lelaki!”
“Adakah dia tidak takut dengan api neraka, melakukan perbuatan yang salah dan berdosa?”

Pelupuk mata terasa panas, menahan air mata daripada jatuh mengalir di pipi. ‘Soksek-soksek’ yang kedengaran terasa begitu menyentapkan hati, mematahkan semangat untuk menunaikan solat fardhu tadi!

Bahu Fariz disentuh seseorang. Fariz menoleh ke belakang lalu melihat Hafis yang memberi kata semangat, “Jangan layan. Basuh sahaja mekap dan jom kita bersolat!”

Perlahan-lahan, Fariz mengangguk dan membawa diri ke pili air. Air ditadah lalu perkara pertama dilakukan adalah membasuh segala mekap di wajah. Air yang mengalir kini berwarna-warni menandakan betapa tebalnya mekap dikenakan.

Selesai berwuduk, dirinya bersolat berjemaah bersama Hafis. Buat pertama kali setelah sekian lama, dia berasa tenang tanpa menghiraukan pandangan orang lain.

“Di dalam surah At-Talaq ayat 2 dan 3 ada menyebut; ‘Barangsiapa bertakwa kepada Allah, nescaya Dia akan mengadakan baginya jalan keluar. Dan memberinya rezeki dari arah yang tidak disangka-sangka’. Oleh itu, kita sewajarnya mendekatkan diri kepada Allah dengan mengamalkan segala suruhan dan meninggalkan segala larangan.”

Tazkirah ringkas selepas solat daripada Hafis membuatkan Fariz mengimbas kembali rutin dirinya selama ini. Berapa lama dia tidak menyentuh sejadah, sujud kepada Yang Maha Esa. Berapa lama dia mengingkari suruhan Allah, memakai pakaian yang menyerupai wanita. Berapa lama dia tidak menjaga hubungan, sentuhan antara lelaki dan wanita langsung bukan satu masalah baginya.

Dia tidak dapat lagi menahan. Air mata jernih kini mengalir di pipi, tidak lagi mampu menyembunyikan keperitan dan kegelisahan. Dia tidak lagi mampu berlakon dan melakukan penipuan.

“Eh, Fariz… kenap kau tiba-tiba menangis?” Hafis mendekati sahabatnya. Perasaan bersalah menerpa, takut kata-katanya mengguris perasaan Fariz.

“Aku sudah lama melakukan dosa. Aku sudah lama meninggalkan suruhan-Nya. Masih sudikah Tuhan mahu menerima taubat aku, yang sering melanggar perintah-Nya?”

Senyuman terukir di bibir, melihatkan hidayah yang diberikan Allah kepada sahabatnya. Lalu, kata ditutur lembut, “Sesungguhnya Allah itu Maha Pengampun lagi Maha Penyayang. Selagi mana pintu taubat dibuka, selagi itu peluang untuk diampunkan dosa masih ada. Hanya bergantung kepada kita sebagai hamba, untuk terus berhibur dengan dunia atau kembali kepada Allah Yang Maha Esa,”

Fariz mengesat air mata yang mengalir, kemudian memandang sahabat sambil tersenyum kecil. “Terima kasih sahabat kerana sudi memberi bimbingan. Terima kasih Allah, di atas hidayah yang diberikan!”

Published inMentor Mentee

Be First to Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *