Skip to content

Instafamous Kufur Nikmat

Jari runcingnya ligat menari-nari di atas skrin telefon. Butang muat naik ditekan dengan senyuman penuh lebar.

“Range rover, Audi, BMW… Alhamdulillah rezeki kurniaan Tuhan! Bertuahnya badan!”

“Hai! Saya sedang mengira wang hasil perniagaan saya. Wah, berkepuk-kepuk! Hehehe…”

“Ku berteleku di atas sejadah ini untuk memanjatkan rasa syukurku kepadamu Ya Allah!”

Miya menggodek ruangan komen Instagramnya. Tersengih-sengih Miya seorang diri saat membaca komen-komen yang berbentuk puji-pujian belaka.

Tiba-tiba, jarinya yang tadi sibuk menari di atas skrin telefon terhenti seolah ditekan brek kecemasan. Keningnya berkerut sehingga tercantum dua. Otak pula ligat berfikir siapa yang punya angkara.

“Eleh, konon-kononnya sedang berteleku di atas sejadah. Walhal, hendak menunjuk jam baru edisi terhadnya itu. Dasar perempuan munafik!”

“Ha, tayanglah kereta itu semahu-mahunya. Nanti jangan menyesal diseksa di akhirat kerana kufur nikmat!”

“Tudung sahaja bertutup litup, baju ketat macam nangka, kaki pula terdedah sini dan sana!”

@@@

“Hai, Miya! Maaf saya terlewat datang. Eh, kenapa muka awak masam sahaja? Baru makan asam ya? Hehehe…”

“Hafizah, saya benganglah! Tengoklah Instagram saya ini. Penuh dengan kecaman daripada pengguna bernama Cahaya Kemuliaan. Saya syak ini angkara Bahiyah si Ustazah Sentap itu. Tadi dia asyik pandang-pandang saya sahaja.”

“Mungkin ada yang dengki dengan kehidupan awak. Sudahlah, mari kita bergerak ke dewan sekarang.” Lengan Miya segera dipaut Hafizah.

“Yalah, saya hampir terlupa hari ini saya perlu memberi ucapan di dewan sekolah sempena minggu keusahawanan. Maklumlah, saya ini sudah menjadi usahawan muda yang berjaya!” Hafizah tersenyum mendengar ayat Miya yang lebih kepada masuk bangkul angkat sendiri itu.

@@@

” Assalamualaikum pelajar-pelajar yang saya kasihi. Sepanjang usahawan muda kita, Miya Maisarah berkongsi kisah kejayaannya, anda boleh berkongsi pendapat atau mengajukan soalan menggunakan medium Twitter. Soalan anda akan dipaparkan secara langsung di skrin di hadapan ini.” Puan Hajah Zaiton membuat pengumuman dengan nada penuh keibuan.

Ucapan Miya berjalan dengan penuh lancar pada hari tersebut. Sempat lagi dia menyebut berkali-kali tentang kehidupannya yang mewah. Tidak lupa juga diakhiri ayatnya dengan rasa syukur kepada Tuhan dengan gaya tangan yang menjulang-julang ke langit.

“Boo… Dasar makan puji! Tidak habis-habis menunjuk kekayaan untuk sesuap pujian!”

“Hey perempuan hipokrit, munafik, fasik! Bertaubatlah sebelum terlambat!”

Dewan Sekolah Sri Bangsar mula riuh. Kedengaran beberapa pelajar mula berbisik nakal sesama sendiri. Semuanya kerana komen yang terpapar di skrin tersebut.

Miya cuba berlagak tenang, walhalnya kakinya sudah terketar-ketar tidak senang. Puan Hajah Zaiton yang menyedari situasi ini terus mematikan kuasa skrin tersebut.

@@@

Jari Miya ditekan-tekan kuat ke atas papan kekunci telefon pintarnya. Segera butang Direct Message ditekan. Dia nekad, kali ini dia perlu bertanya motif pengguna bernama Cahaya Kemuliaan itu menyerangnya bertalu-talu di laman sosialnya.

“Betul kata-kata Cahaya Kemuliaan itu. Miya memang suka show off!”

“Saya sokong Cahaya Kemuliaan!”

“Mulut Cahaya Kemuliaan ini memang tiada insuran! Sesedap hati sahaja mengecam Miya. Ingat awak itu ahli syurga?”

Miya mengeluh saat membaca komen-komen di Instagramnya.  Ternyata ada juga pengguna yang menyebelahi si Cahaya Kemuliaan itu.

Direnung siling bilik Hafizah sambil berbaring menanti kepulangan Hafizah dari kedai runcit.

Ting ting ting!

Dahi Miya berkerut. Bunyi apakah itu? Segera dicari arah datangnya bunyi notifikasi yang tidak berhenti berbunyi. Ternyata, ia datang dari beg milik Hafizah.

“Amboi, tidak berhenti mesej berbunyi! Jangan-jangan Hafizah ada teman lelaki ya?” Miya mengeluarkan telefon bimbit Hafizah yang masih berbunyi tanpa henti. Namun, saat terpandang ke arah skrin telefon, mata Miya terbeliak besar bagai mahu tercabut. Darah mendidih bagai mahu meletup.

“Miya…” Ayat Hafizah terbantut saat dia melangkah masuk ke dalam biliknya. Dia tergamam apabila melihat Miya yang memandangnya seperti singa kelaparan. Dialihkan pandangannya terhadap telefonnya yang sedang dipegang Miya.

“WHAT IS THIS, HAFIZAH??  CAKAPLAH! ” Suara Miya tersekat-sekat menahan rasa ngilu di hati. Mukanya merah padam menahan marah.

“Wait. I can explain it.”

“NO! I HATE YOU!” Pantas Miya berlari keluar dari rumah Hafizah dan menuju ke jalan raya sambil menahan air mata yang tidak berhenti mengalir.

“Please, Miya. Tunggu dahulu.” Tersemput-semput Hafizah berlari mengikut jejak Miya. Hafizah tidak kisah, mati pun dia sanggup demi menjelaskan perkara yang sebenar kepada Miya.

Sedang Hafizah mengejar Miya yang laju berlari tanpa menoleh, tiba-tiba kelihatan sebuah van berwarna putih berhenti mengejut di hadapan Miya. Miya tergamam. Dua orang lelaki keluar dari van dan merenggut tangan Miya masuk ke dalam van. Hafizah ternganga melihat insiden yang berlaku di hadapan mata.

“MIYA!” Jeritan suara Hafizah bergema kuat sebelum serta merta terus mara menarik Miya yang sudah ditarik masuk ke dalam sebuah van putih. Miya jadi kaku. Tangannya tidak mampu digerakkan lagi. Mulut pula sudah diikat kuat dengan kain.

SRETTTTT… BANG!

Bunyi ngilu yang kuat mampu menggegarkan telinga yang mendengar. Dalam sekelip mata, tubuh Hafizah sudah diheret satu kilometer sebelum genggaman tangan Miya dilepaskan sebaik sahaja kepalanya menghentak pembahagi jalan. Pandangan Hafizah mula kelam.

@@@

“Miya, saya minta…”

“Sudahlah, Hafizah. Awak berehat dahulu.” Miya tidak mampu bersuara. Hatinya masih sedih mengenangkan saat Hafizah diheret menyembah jalan raya di hadapan matanya sendiri. Semuanya berlaku dengan begitu pantas.

“Kenapa ya, Hafizah? Kenapa awak perlu malukan saya di laman sosial? Kenapa awak tidak berhadapan sahaja dengan saya secara peribadi.” Nada Miya jelas menunjukkan dia kecewa dengan tindakan Hafizah.

“Saya bimbang awak akan berkecil hati. Saya tidak mahu kita bertengkar. Saya sayangkan persahabatan ini.” Air mata jernih mula mengalir di pipi Hafizah. Digenggam tangan Miya dengan erat.

“Menegur sampai menghina. Itukah cara dakwah yang sebenar?

” Ya, niat baik saya tidak menghalalkan cara saya yang salah. Saya minta maaf.” Hafizah menunduk memandang lantai.

“Saya telah mendapat balasan yang setimpal. Parut ini akan kekal di muka saya. Sudikah awak memaafkan saya, Miya?”

“Jangan cakap begitu, Hafizah. Parut itu juga merupakan bukti awak telah menyelematkan saya daripada diculik. Salah saya juga, suka menunjuk-nunjuk kekayaan sehingga menjadi sasaran penculik.”

“Ishh, gerunnya saya apabila teringat semula kejadian itu. Saya berjanji tidak akan menunjuk-nunjuk lagi. Saya juga maafkan awak. Demi… Persahabatan kita!” Segera tubuh Hafizah dipeluk erat oleh Miya.

 

Anda suka penulisan ini? Kongsi Di Laman Sosial!
Published inMentor Mentee

Be First to Comment

Leave a Reply