Skip to content

Pengasah Pensel

Selesai memastikan rambut dalam keadaan sempurna, Jamil Khan menoleh ke belakang kelas. Ah, saat mata terpandang wajah Sue Anna si idaman jiwa… terus sahaja hati menjadi berbunga-bunga. Lagu-lagu romantic Bollywood bagaikan terpasang dengan begitu merdu dan indah, membuatkan hati bertambah teruja. Jamil Khan mula membayangkan diri umpama watak utama, menari dan berdansa bagai tiada hari esoknya.

“Err… Jamil? Kenapa awak terkinja-kinja di hadapan meja saya ini?”

Tanpa disedari, rupanya tubuh secara automatik bergerak mengikut hati. Tanpa disedari, kini Jamil sedang menari sendiri bagaikan orang gila di hadapan pujaan hati!

“Sue Anna! Bila awak mahu pulangkan barang saya?” Secara tiba-tiba, Jamil menghempas tangan ke atas meja pelajar itu.

“Barang apa? Saya tidak ingat saya ada ambil apa-apa,”

“Mungkin awak sudah lupa yang awak sudah curi… hati saya. Chia… chia… chia!” Jamil tersenyum bangga, tangan siap membuat aksi memanah bagaikan si Cupid yang memanah cinta.

“Mengarutlah awak ini”

“Eh, ini buku awak?” Buku rujukan subjek Kimia dicapai lalu dibelek-belek. Kening yang tebal juga sudah berkerut seribu, bagaikan ada yang tidak kena dengan buku tersebut.

“Ya, buku saya. Kenapa?”

“Tebalnya buku ini. Tetapi, tidak setebal perasaan hati saya kepada awak!” Sekali lagi, ayat-ayat manis lagi romantis diberi.

“Eh, awak mahu ulang kaji topik Ikatan Kimia, ya? Bolehlah awak kaji cara membina ikatan antara kita!”

‘Diserang’ sebanyak tiga kali secara bertalu-talu, Sue Anna mula menjadi tersipu malu. Muka yang tadi hanya sedikit rona merah, kini semakin jelas umpama peti surat luar negara!

Anak mata Jamil kini melilau di atas meja Sue Anna, mencari bahan yang sesuai dibuat ayat manis lagi berpuitis sehingga terkena diabetes!

“Hah,cari apa pula itu? Jangan kata pengasah pensel ini pun mahu jadi bahan jugalah!” Sue Anna terus sahaja menjerkah tetamu yang tidak dijemput itu!

“Euw… what are you talking about? Sharpener of course!” Jamil cuba berlagak maco walhal tubuhnya baru sahaja bagaikan terkena renjatan elektrik. Tiba-tiba kepala terasa pening-pening lalat, mulut terasa mual… namun di hadapan si gadis, haruslah dikawal segalanya!

“Kenapa tiba-tiba cakap Inggeris?” Hairan pula Sue Anna dengan Jamil yang secara tiba-tiba menukar bahasa.

“It’s English Week, isn’t it? That’s why we should use the word SHARPENER!” Tubuh badan mula berpeluh deras, perut juga terasa sakit dan memulas! Namun, senyuman kekal terukir di bibir Jamil yang sedang menutup sesuatu yang tidak mampu diberitahu

“Minggu Bahasa Inggeris adalah minggu lepas. Minggu ini adalah Minggu Bahasa Melayu. Jadi, gunalah perkataan pengasah pensel!” Sue Anna tegas mengingatkan.

“Hah, apa kata kita sebut PP sahaja? Lebih enak disebut begitu sahaja~” Cogan kata roti Gardenia sengaja diubah sesedap rasa. Jamil lantas mengusap perut yang rasa semacam.

“Hish, mengarutlah! Lebih mudah jika sebut pengasah pensel sahaja. Pengasah pensel… pengasah pensel… pengasah pensel. Hah, senang sahaja!” Sue Anna masih bertegas mahu bercakap di dalam Bahasa Melayu. Pengasah pensel segera dicapai. Dilihat tiada apa yang pelik pada fizikalnya. “Tiada apa yang pelik pun pada pengasah pensel ini?”

BLUEKKK!

Segala isi perut, terus sahaja dimuntahkan Jamil tepat kepada Sue Anna. Begitu banyak muntah dikeluarkan, umpama air daripada paip tidak tertutup. Sekelip mata, wajah si pujaan hati dan rakan baiknya dipenuhi cecair yang berwarna kehijauan itu kelihatan sungguh banyak dan melekit!

@@@@

“Saya tertekan, cikgu! Habis tersebar segala berita palsu, kononnya saya mengandung tujuh bulan. Kata mereka, perut saya juga sudah mula menunjukkan ‘baby bump’. Percayalah cikgu, ini hanyalah perut saya yang boroi… bahagia dengan masakan ibu saya! Mereka tidak tahu, saya sebenarnya ada penyakit!”

“Awak ada penyakit apa?” Cikgu Aini terus berdebar mendengarnya.

“Sebenarnya… saya ada penyakit sinestesia!” Akhirnya, Jamil meluahkan dengan susah payah. Rahsia yang selama ini dipendam, akhirnya terbongkar.

“Oh, penyakit kecelaruan pancaindera. Contohnya, pesakit boleh nampak bau, dengar warna, dan bau bunyi. Alahai, macam cerita The Girl Who Sees Smell!” Entah mengapa, Cikgu Aini menjadi teruja dengan apa yang diberitahu anak muridnya.

“Betul itu, cikgu. Penyakit sinestesia ini juga ada pelbagai jenis. Ada jenis ‘chromesthesia’; iaitu penyakit mampu melihat bunyi melalui warna yang terhasil. Ada juga ‘auditory-tactile synesthesia’, iaitu orang yang boleh merasa sentuhan apabila mendengar perkataan tertentu. Oh, ‘mirror-type synesthesia’ pun ada, di mana individu yang mampu merasai sentuhan yang dialami orang lain. Ini sememangnya empati tahap dewa!” Jamil sendiri senang memberitahu tentang informasi penyakitnya itu, berkat doctor yang telah lama merawatnya.

“Jadi, kamu pula sinestesia yang mana satu?”

“Saya berpenyakit misophonia, iaitu sesuatu perasaan negatif yang timbul apabila mendengar sesetengah bunyi. Macam saya, saya akan mula berasa pening dan mual setelah mendengar perkataan…” Jamil tidak mampu menghabiskan ayatnya. Teringat sahaja perkataan itu, tubuhnya mula mengeluarkan sensasi tidak enak. Lalu, dia hanya mampu menunjukkan aksi, supaya Cikgu Aini mampu menghabiskan ayatnya.

“Burung?”
“Meja?”
“Siti Nurhaliza?”

“Bukanlah, cikgu. Alahai, benda yang selalu ada di dalam bekas pensel, tetapi jarang digunakan.”

“Pembaris? Pemadam? Gunting? Apa lagi ya barang di dalam bekas pensel?”

“Bukan. Alahai… erm, pongosoh ponsol!” Akhirnya, terpaksa juga diluahkan perkataan itu… namun secara pelik dan ganjil benar bunyinya!

“Pengasah pensel?”

“Yes, exactly! Apabila dengar sahaja perkataan itu, terus sahaja badan terasa direnjat elektrik. Kepala mula pening-pening dan perut terasa tidak enak!” Berkerut kening Jamil membayangkan keperitan mengalami situasi itu.

“Amboi, patutlah digosipkan mengandung… sudah macam ibu hamil siptomnya! Baiklah, cikgu akan minta hentikan segala khabar angin tersebut. Cikgu juga akan minta kerjasama guru-guru supaya elakkan menggunakan perkataa tersebut!” Cikgu Aini kelihatan bersemangat memberikan sokongan.

“Terima kasih banyak-banyak, cikgu. Saya terhutang budi sangat dengan cikgu. Saya harap saya tidak akan muntah lagi selepas ini,” Jamil kini mampu menarik nafas lega .

“Tidak mengapa. Awak jangan risau. Saya berjanji selepas ini tiada siapa lagi yang akana menyebut perkataan pengasah pens…”

BLUEKKK

Kini Cikgu Aini pula ‘dihujani’ muntah hijau!

Published inMentor Mentee

One Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *