“Assalamualaikum, para pelajar. Di sini, ingin saya maklumkan bahawa dua minggu dari sekarang akan berlangsungnya satu Karnival Pendidikan di sekolah kita. Pada hari tersebut, pelbagai aktiviti yang akan dijalankan. Antaranya ialah aktiviti yang saya anjurkan iaitu Pertandingan Mencipta Roket Air. Tiada had penyertaan, sesiapa sahaja boleh menyertai sama ada secara individu atau berkumpulan. Pemenang akan dipilih berdasarkan ketahanan roket tersebut dan setinggi mana roket boleh terbang. Hadiah menarik menanti anda!”
“Inilah peluang kecemasan untuk kita serlahkan bakat kita dalam perkara yang melibatkan Sains!” Robita berpaling ke arah Bard Badzli sebaik sahaja Cikgu Aziz Zatter selesai membuat pengumuman.
“Peluang keemasanlah! Bukan kecemasan!” Bergerak-gerak telinga capang Bard memarahi Robita. Sakit telinganya mendengar budak berkepala labu itu sesuka hati mengubah sesuatu perkataan. Maklumlah, Robita itu robot, jadi kerjanya menghadam kamus tanpa memahami maksud yang sebenar-benarnya. “Tetapi betul kata awak. Kita perlu tunjukkan kehebatan kita dalam pertandingan sebegini. Gandingan kita berdua akan menggemparkan satu sekolah! Semestinya, kita akan memenangi pertandingan ini!”
“Jangan haraplah! Saya akan pastikan, saya dan Faezah yang akan menang!” Sampuk Nera Elena secara tiba-tiba bersama topeng putih di wajah seperti topeng yang dipakai Super 3G.
“Eh? Saya?” Faezah terkejut. Jari telunjuk dituju ke wajah sendiri. Sejak bila pula dia bersetuju untuk menjadi ahli kumpulan Nera dalam merebut gelaran juara Pertandingan Mencipta Roket Air?
“Kenapa awak bertopeng, Nera? Adakah wajah awak bertambah tenuk disebabkan sering memicit jerawat?”
Sejurus selepas itu, wajah Robita lebam-lebam akibat di‘kerja’kan Nera. Terus terdiam robot itu dibuatnya. Itulah… berani memberi komen ikhlas dari hati, umpama buku lima yang dihajati.
“Kalau mahu mengutuk pun, gunakanlah perkataan yang betul!” Nera berpeluk tubuh bersama wajah menahan geram.
“Bagaimana awak boleh keliru antara tenuk dan teruk? Tenuk itu haiwan yang lebih dikenali sebagai tapir. Memang patutlah Nera mengamuk kerana wajahnya disamakan dengan tapir!” bisik Bard ke telinga Robita, menerangkan situasi.
“Oh…” Bulat mulut Robita, sama bulat dengan kepala labunya. “Noru, awak mahu sertai kami?”
Noru menggeleng bersama secuit senyuman. “Tidak mengapa, saya tidak tertarik malah tertolak dengan pertandingan tersebut. Lainlah jika pertandingan melukis komik, saya akan sertai tanpa ragu-ragu! Awak semua teruskan tanpa saya. Jangan rindukan saya, ya!” Noru melambai-lambai lembut sebelum meninggalkan kawan-kawannya.
“Noru itu amat pelik orangnya.”
“Awak pun pelik juga!” Bard menepuk bahu Robita.
@@@@
“Bahan-bahan yang kita perlukan untuk mencipta sebuah roket air ialah dua botol bersaiz besar, plastisin dan kadbod.” Setiap bahan yang disebut, Bard akan letakkannya di atas meja belajarnya.
“Peralatannya pula, gunting, pisau dan pita pelekat.” Bagi Robita pula, dia hanya perlu keluarkan peralatan-peralatan yang mereka perlukan dari mana-mana bahagian badannya. Malahan, pita pelekat tersimpan di dalam perutnya! Macam poket Doraemon!
“Yosh! Segala keperluan untuk menghasilkan sebuah roket air, siap tersedia! Apa lagi, mari kita mulakan!” Lengan baju dilipat hingga ke siku. Bard mengangkat kedua-dua belah tangannya seolah-olah mahu memulakan pembedahan ala-ala watak doktor dalam drama Korea yang sering ditonton ibunya.
“Bard… Kenapa kita tidak gunakan sahaja alatan mesin untuk membuat roket air ini? Bukankah lebih mudah? Lagipula, saya juga sebuah robot, maka tiada masalah mahu menyiapkan sebuah roket yang kecil saiznya. Apabila siap, bolehlah kita berlagak di sekolah dan memenangi pertandingan tersebut.”
Kata-kata Robita menghentikan segala perlakuan Bard. “Pada awalnya, saya juga berfikir perkara yang sama tetapi saya mahu awak belajar membuat sesuatu perkara tanpa mengharapkan sebarang bantuan daripada alatan mesin. Berdikari!”
“Oh… Saya faham! Awak mahu saya beli kari, barulah roket air dapat disiapkan dengan jayanya.”
“Siapa kata perlu beli kari?! BERDIKARI! Berdiri di atas kaki sendiri! Maksudnya, awak tidak bergantung atas bantuan orang lain. Dalam konteks kita, awak membuat sesuatu tanpa menggunakan sebarang alatan canggih. Faham?”
“Faham, tuan!” Robita mengangkat tabik hormat.
“Baiklah, mari kita mulakan! Pertama, kita perlu potong botol ini…”
@@@@
“Bard! Apa yang awak katakan mengenai beli kari? Hanya kita yang mencipta roket air dari bahan kitar semula sedangkan yang lain…” Robita membuang pandang ke arah beberapa buah kumpulan dan individu yang menyertai Pertandingan Mencipta Roket Air. “Mereka semua hasilkan roket yang diperbuat daripada logam!”
Bard tergaru-garu kepala di sebalik telinganya yang capang. Dia menayang sengih. “Alah, tidak mengapa, Robita! Kita jadi satu-satunya kumpulan yang unik dan ini bukan bermakna kita tiada peluang untuk menang.”
“Kenapa roket air kumpulan awak sahaja yang buruk? Sudahlah bertemakan colour blocking, amat menyakitkan mata!” Nera sengaja menyakitkan hati pihak lawan dengan kata-kata pedas serta reaksi seolah-olah matanya sakit dicucuk duri kaktus.
“Selain wajah awak, mata awak juga bertambah tenuk ya? Adakah perlu memakai kaca mata?”
“ROBITA!”
@@@@
“Penyertaan pada tahun ini amat memberangsangkan! Setiap kumpulan ada kehebatan tersendiri, namun sayang seribu kali sayang… Hanya satu roket yang akan dinobatkan juara.” Bergoyang-goyang perut buncit Cikgu Aziz disebabkan beliau bergerak ke kiri dan ke kanan.
“Setelah roket-roket air menjalani ujian, terdapat roket yang mampu terbang setinggi langit ketujuh, kurang tinggi dan tidak terbang langsung malah melencong ke tempat lain… keputusan akhirnya berada di tangan saya…” Sekeping kad bersaiz A5 berada di dalam genggaman Cikgu Aziz dan diangkat tinggi ke udara. Wajahnya serius, membuatkan para peserta berdebar-debar untuk mengetahui siapakah juara Pertandingan Mencipta Roket Air.
“Pemenangnya ialah… Drum roll, please!”
Entah dari mana datangnya dram yang sebelum ini tiada, Alfi bin Alfa, senior tingkatan empat memukul dram seperti yang diarahkan Cikgu Aziz.
“Bard Badzli dan Robita!”
Bard dan Robita keriangan.
“Tidak sia-sia kita beli kari, Bard!”
“Aduhai… Bukan beli kari, tetapi berdikari!”
Be First to Comment