Skip to content

SURAT CINTA BUAT ABC

Loceng sekolah berbunyi nyaring menandakan waktu rehat sudah bermula. Inilah masanya untuk mengisi ‘minyak’ di kantin, tetapi kena cepat kalau tidak habislah tempat duduk kena sambar!

Selesai sahaja membeli makanan di kantin Mak Cik Sharepah, dua orang sahabat berlari-lari anak ke arah meja yang masih tidak berpenghuni. Nasib baiklah mereka awal keluar dari kelas Matematik hari ini, dapatlah duduk di meja kantin. Jika terlambat walau sesaat, terpaksalah duduk di tepi longkang yang berbau hanyir!

“Eh, itukan buah hati, hati intan payung saya!” Melihat kelibat Ahmad Badwi melintasi meja mereka, berbunga-bunga biji mata gadis itu.

“Muka berjerawat, berlubang-lubang seperti terkena sengatan tebuan dan badan kurus kering. He is totally my type!” Kawannya di sebelah menggeleng kepala berkali-kali mendengar luahan isi hati si sahabat.

“Ahmad Badwi, budak skema itu? Dee, awak ini tiada cita rasa langsunglah!” Nafas ditarik dalam-dalam sebelum menyambung bebelannya.

“Sebenarnya Ahmad Badwi itu cinta pandang pertama saya. Waktu sekolah rendah darjah tiga dahulu, dia pernah pinjamkan saya pen merah. Oh! My God. He is so romantic!”

“Apa kena-mengena pen merah dengan cinta pandang pertama?” Berkerut dahi Aisyah dengan sahabatnya itu.

“Aisyah, merah itu simbol cinta.” Malas mahu melayan pertanyaan yang tiada penghujung, mi laksa yang lazatnya hingga menjilat jari dikunyah perlahan-lahan. Nikmatnya!

Tidak semena-mena…

“ARGH! Pergi jauh-jauhlah! Hish! Hantu Kum Kum! Muka buruk ada hati tegur orang! Hey, how dare you?” Tersedak Dee mendengar jeritan Diana, ahli kehormat The Wannababes. Bising-bising apa di kantin ini?

Paling mengejutkan, ahli The Wannababes siap mengelilingi Ahmad Badwi! Kasihannya dia jadi mangsa buli. Isy, ini tidak boleh jadi! Tangan sudah menggigil hendak beri pengajaran kepada mereka bertujuh.

“Sabar, Dee. Nanti awak pula yang jadi mangsa The Wannababes.” Nasiblah Aisyah ada untuk menenangkan hatinya yang panas membuak-buak melihat buah hati dibuli di hadapan mata.

“Lain kali jangan buat muka tidak tahu malu tegur kami sesuka hati! Kami ahli kumpulan The Wannababes! The Wannababes! The Wannababes! Faham?”

“Dia sememangnya sengaja mahu kita kerjakan!”

“Lain kali tolong cermin muka dahulu sebelum menegur perempuan cantik seperti kami!”

Melihat The Wannababes seperti akan melakukan serangan fizikal apabila kini mula menyingsing lengan baju, Ahmad Badwi cepat-cepat meloloskan diri dari kekangan bulatan tujuh sekawan.

“Aisyah, mari kita pergi. Hilang selera makan dibuatnya.” Dee terlebih dahulu melangkah pergi meninggalkan Aisyah yang masih terpinga-pinga.

“Wait!” Aisyah menyuap sesuap mi laksanya yang masih berbaki sebelum mengikuti langkah Dee walaupun waktu rehat masih berbaki 15 minit.

@@@

Di dalam kelas, Dee bermasam muka mengenangkan nasib Ahmad Badwi. Cikgu Haizi yang sedang mengajar mula naik angin melihat Dee yang tidak menumpukan perhatian dalam kelasnya. “Dee, jangan berangan-angan semasa saya sedang mengajar!”

“Ahmad Badwi cinta sejati kekal abadi!” Seisi kelas termasuk cikgu Haizi yang jarang ketawa pun pecah perut apabila Dee melatah akibat terkejut dimarahi oleh Cikgu Haizi. Isy, malunya!

“Sudah! Sekarang saya mahu semua kembali menumpukan perhatian pada pelajaran.” Serentak mulut dikunci rapi. Mata kembali fokus ke hadapan menyalin apa yang ditulis oleh Cijgu Haizi.

“Psst, Aisyah! Boleh tidak….” Sebelum sempat hendak berkongsi cerita, Cikgu Haizi terlebih dahulu memotong cakapnya.

“Dee, jangan degil!”

“Cia cia cia!” Sekali lagi seisi kelas ketawa sampai guling-guling atas lantai. Aduh, sakit perut sampai kejang otot perut! Memang penyakit melatah Dee tidak akan pernah sembuhlah nampaknya.

@@@

Seminggu sudah pun berlalu. Senyuman akhirnya terukir di bibir. Sekurang-kurangnya insiden Ahmad Badwi dan The Wannababes semakin surut meniti di mulut para mak cik bawang merah dan geng pak cik bawang putih.

Hari ini Sekolah Sri Bangsar akan mengadakan aktiviti kokurikulum. Dee dan Aisyah sebenarnya mendaftar masuk Kelab Perpustakaan tetapi memandangkan keahlian sudah penuh, mereka dipaksarelakan memasuki Kelab Bola Jaring.

“Dee, cuba awak tengok itu!” Menoleh ke kanan, ternampak kelibat yang amat dikenalinya. Cair hatiku melihat dirimu, wahai sang putera idaman!

“Tengoklah cara dia berkawad. Oh, Tuhan! Nampak sungguh menggoda! Kalah Fahrin dan Tengku Affin.” Aisyah menjulingkan mata ke atas tanda malas mahu melayan Dee yang angau tahap maksimum.

“Saya hendak intip dia setiap petang. Awak hendak ikut sama?” Aisyah dengan pantas menggeleng kepala tanda tidak setuju yang teramat. Buat apa hendak perhatikan orang dari jauh? Stalker!

“Daripada awak asyik fikir tentang dia, lebih baik fikir tentang SPM yang akan berlangsung tahun depan.” Dee memekakkan telinga. Sikit-sikit hendak ‘tembak’ ceramah percuma.

@@@

Seperti yang dikatakan, setiap petang Dee akan mengintip Ahmad Badwi di belakang semak. Setiap hari jugalah, Ahmad Badwi menunjukkan perubahan dari segi fizikal. Badan yang lembik semakin tegap, muka yang teruk berjerawat semakin pulih. Oh, nampak sungguh berbeza!

“Oh! My God. Kenapakah dia ini semakin comel? Geramnya!” Tangan sudah gatal hendak mencubit-cubit sampai bengkak pipi Ahmad Badwi tetapi hasrat itu dipendam sahqja. Mana boleh sentuh kulit antara lelaki dan perempuan yang bukan mahram. Hukumnya haram!

Dee sudah nekad hendak berkenalan dengan Ahmad Badwi. Selama ini hanya jadi peminat setia. Harapnya bolehlah berkawan. Selepas itu kahwin, ihik!

@@@


Assalamualaikum, ABC,

Benarkan saya panggil awak ABC, ya? Oh, jangan risau, ABC bukan bermakna ais batu campur tetapi Ahmad Badwi comel! Hehehe!

Saya harap awak terima surat peminat ini dengan selamat. Ya, saya ialah peminat awak! Ah, saya rasa bukan saya seorang sahaja yang hantar surat kepada awak! Maklumlah, sudah glamor sekarang. Sudah jadi hebat seperti kebab, kalah martabak!

>____<

Sebenarnya saya suka tengok awak berkawad dalam barisan kadet polis. Nampak betul-betul bergaya dan gagah perkasa seperti inspektor dalam drama Gerak Khas. Nanti bolehlah gantikan ketua polis negara, ya!

Saya harap awak sudi terima salam perkenalan ini. Saya juga berharap awak membalas surat ini. Oh, sekiranya mahu balas melalui e-mel, boleh juga. Maklumlah, sekarang ini zaman teknologi maklumat.

Alamat emel saya: [email protected]

Nanti kita ‘chat’, ya!

p/s: Berkawan biar seribu, saya setia menunggu!

Yang Benar,

CuteGirlInTheSpace


Melihat senyuman Ahmad Badwi dari jauh, berbunga hati Dee dan Aisyah. “Saya tidak sangka  itu Ahmad Badwi. Kacak sungguh!”

Dee mengangkat kening sebelah persis Ziana Zain. “Awak jangan macam-macam, ya!”

Aisyah tersengih mendengar amaran daripada Dee. “Apa pun, saya harap awak tidak begitu pentingkan cinta lebih daripada pelajaran. Ingat, SPM penentu masa hadapan kita.”

Dee menepuk lembut bahu kawannya. “Jangan risaulah, Aisyah. Saya hendak belajar betul-betul supaya masa hadapan saya bersama Ahmad Badwi cerah. Jangan cemburu, ahaks!”

Published inMentor Mentee

2 Comments

  1. HellMan HellMan

    Best sangat,daripada tadi rasa bosan sebab game yang beberapa kali main tiba-tiba rasa seronok dan ceria apabila baca ni hihihi
    Terbaiklah
    I LAIKIT <3

  2. Ainnnn Ainnnn

    Fuhhh hilang bosan bila baca cerita ni. 100% best sangat! Paling lawak sekali dekat “makcik bawang” tu hahahahahahaha😂

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *