Skip to content

Anugerah Tokoh Guru

Cikgu Amnah berdiri terpacak memandang pelajar dihadapannya. Matanya tajam menusuk muka si pelajar. Wajah guru disiplin 40-an itu langsung tidak mempunyai secalit senyuman. Jambulnya terlebih kembang dari biasa. Rotan yang seolah-olah tongkat sakti ditangan pula sengaja diguna untuk libas-libas angin. Menunjukkan betapa tingginya meter kemarahan guru itu sekarang.

“Lepas ini , jangan ponteng lagi! Hulur tangan kamu.” Suara serak-serak basah Cikgu Amnah bergema kuat menggegarkan Bilik Disiplin. Pelajar dihadapan cepat-cepat menurut perintah tanpa banyak soal.

Rotan disasar , diangkat tinggi kemudian ..

PAKK!

@@@

Cikgu Amnah berjalan dengan penuh ganas menuju ke kantin. Sesekali dapat dilihat jambulnya terhinjut-hinjut mengikut rentak langkahnya. Rotan seperti biasa , digam kuat tak lepas dari tangan.

Sepanjang menuju kekantin , dapat dilihat beberapa pelajar sedaya upaya cuba menjauhinya. Malah , ada yang sanggup berpatah balik melalui jalan lain! Bimbang jadi ‘mangsa’ Cikgu Amnah yang seterusnya. Sebegitu kuat aura garang guru disiplin ini.

Sampai sahaja ke kantin , sepinggan nasi lemak dicapai lalu dibayar dengan wang kertas. Segera dibawa makanan tersebut ke bahagian meja makan guru sebelum duduk.

Sambil-sambil Cikgu Amnah menikmati hidangannya , dia mencuri dengar perbualan guru-guru lain.

“Ah , penatnya saya! Sepanjang harini perlu layan karenah pelajar! Terumatanya The Wannababes!”

“Berlambak betul kerja sekolah murid saya kena tanda! Fuh , meletup otak!”

“Sedapnya teh tarik ni!”

“Dah dengar cerita fasal Anugerah Tokoh Guru untuk Hari Guru kita tahun ni?”

Apa? Anugerah?

Cikgu Amnah menjongket sebelah keningnya. Mata dijengilkan kearah kumpulan guru wanita berdekatan. Cepat-cepat di’capang’kan lagi telinga bagi mendengar dengan lebih jelas.

“Saya dengar , Anugerah Tokoh Guru tahun ni hadiahnya lumayan! Dapat duit bernilai RM1000!”

“Wah , bolehlah beli barang makeup!”

“Saingan mesti sengit! Saya sendiri tak boleh agak siapa yang menang!”

“Yang pastinya , guru disana itu takkan menang ..”

Tiba-tiba , kumpulan itu menoleh kearah Cikgu Amnah. Beberapa saat lepas itu , kedengaran gelak tawa dari kumpulan tersebut.

Rasa tak puas hati mula menebal dalam diri Cikgu Amnah.

‘Oh , kamu semua rasa saya tak boleh menang ya. Tunggulah!’ Jerit hati kecil singa betina.

@@@

Keesokan harinya , satu sekolah dikejutkan dengan transformasi Cikgu Amnah. Ketika guru itu dengan penuh bangga berdiri diatas pentas dewan , semua mata yang memerhati terbuntang tak percaya. Apabila guru itu berucap pula , semua diam membisu tak terkata.

Sungguh , Cikgu Amnah nampak lain!

Harini cikgu Amnah membuat keputusan untuk berubah segalanya. Tiada lagi kebaya. Kini dia tampil dengan gaya Hiphop! Siap pakai rantai CD yang besar dileher. Jambul yang sering disebut-sebut pula masih dikekalkan tapi kali ini makhotanya itu ditukar ikut style Kpop. Hiphop dan Kpop , fuh .. memang pelik habis! Paling mengejutkan, Cikgu Amnah turut menari tarian raver sepanjang dia berjalan! Ish , sekali tengok macam orang terkena sawan!

Melihat reaksi luar biasa terhadap dirinya , Cikgu Amnah tersenyum suka. Tak sia-sia dia buat carian di Google semalam.

“RM1000 , kau tunggu aku datang!”

@@@

“Cikgu… sa… saya tak siap…” dengan tergagap-gagap, Liza membuat pengakuan di hadapan Cikgu Amnah. Tangan mengigil-gigil menghulur buku latihannya kepada guru tersebut. Hatinya berdegup kencang. Dapat dia rasa aura pembunuh yang membara-bara! Oh, Liza lebih sanggup dihukum tembak ke kepala berbanding diherdik guru yang paling garang sedunia.

Tiba-tiba tangan Cikgu Amnah menghampiri pipi Liza. Lalu diusap perlahan. Wajah guru itu didekatkan. Seakan riak syaitan yang mahu membaham! Cikgu Amnah berbisik perlahan…

“Tak mengapa… Cikgu tak marah. Jangan buat lagi ya. Ahaks!” Guru disiplin itu cuba membuat gaya manja biar sang pelajar akan merasai kebaikan dan sifat ramah mesra.

Kemudian , dihadiahkan senyuman yang paling istimewa kepada Liza. Liza terkaku.

Sejak dari itu, Liza mengalami kemurungan selama seminggu.

@@@

Cikgu Amnah bersiul gembira sambil berjalan melalui kaki lima. Hatinya berbunga-bunga. Dalam kepala tak lekang-lekang berfikir tentang duit RM1000 yang bakal diterima.

‘Ah , tak sabarnya!’ Cikgu Amnah tersengih busuk.
Sedang dia berjalan, seorang pelajar lelaki berlari laju umpama Usain Bolt dihadapannya.

“HOI FARID BERHENTI!!!” Tanpa sedar, Cikgu Amnah menjerit pada frekuensi tingi membuatkan pelajar yang digelar Farid itu jatuh terjelepuk mendarat lantai!

Serta merta , Cikgu Amnah menekup mulut. Alamak , terlupa pula!
Dengan takut-takut , Farid berdiri menghadap si guru disiplin. Air liur ditelan dan tangan digenggam tanda bersedia dimarahi guru tersebut.

Tiba-tiba ..

“Kamu , jom menyanyi dengan saya!” Tanpa berfikir panjang , Cikgu Amnah mengeluarkan marker pen dari beg tangannya lalu dijadikan ‘mikrofon’.

“Sayang~ Aku kau lupa~” suara nyaring Cikgu Amnah kuat mencucuk telinga. Farid terkebil-kebil melihat reaksinya. Tanpa mempedulikan mata yang memandang , cikgu Amnah terusan menghayati lagu.

” Aku kau luka~ Tanpa kau sedar~ Eh? kenapa bau busuk ni?” Nyanyian guru wanita itu terhenti. Mukanya berkerut menahan bau busuk yang tiba-tiba masuk dalam hidung. Dipandang sekeliling mencari sumber bau itu.
Lama kemudian , matanya beralih kepada Farid.

“Maaf cikgu. Saya lari tadi sebab tak tahan nak ke tandas ..”

@@@

16 Mei- Hari Guru

Cikgu Amnah menanti dengan penuh debar menunggu namanya disebut Puan Hajjah Zaiton. Selama sebulan dua berubah menjadi baik , dia mengharapkan segala usahanya itu mendatangkan hasil.

“Baiklah , bagi mengakhiri sambutan hari guru tahun ini , saya ingin menyampaikan satu anugerah khas iaitu Anugerah Tokoh Guru kepada seorang guru yang layak. Penilaian dibuat berdasarkan undian para pelajar Sekolah Sri Bangsar. Pemenang akan memperoleh RM1000 tunai tanda penghargaan!”

Kedua-dua tangan digenggam. Mata dipejam rapat. Berbakul-bakul doa dibaca dalam hati. Moga-moga dia menang ..

“Anugerah Tokoh Guru Sekolah Sri Bangsar tahun ini jatuh kepada .. Cikgu Rozita!”

@@@

Sebulan kemudian , Sekolah Sri Bangsar kembali bertukar jadi neraka.

Published inMentor Mentee

Be First to Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *