Skip to content

Kudung

Ika melangkah masuk ke perkarangan sebuah sekolah berasrama penuh. Matanya melilau memerhatikan struktur bangunan sekolah itu. Struktur bangunannya  seolah-olah penjara lama yang ditinggalkan.

“Nur Syafika Binti Ilyas?” Ika terkejut. Hampir luruh jantungnya kerana disapa secara tiba-tiba.

“Ya, saya.”

“Sila ke bilik rawatan sekarang yang terletak  berhampiran dewan sekarang.” Guru lelaki itu memberi arahan lantas berlalu pergi. Terpinga-pinga Ika dibuatnya.

“Hai, nama saya Ika. Saya disuruh untuk ke bilik rawatan ini. Saya pun tidak pasti mengapa.”

“Sila duduk dan hulurkan tangan kamu.” Ika menurut arahan wanita itu. Jarum dicapai lalu disuntik ke lengan tangannya.

“Boleh saya tahu, ini suntikan untuk apa ya?”

“Suntikan untuk pelajar baru  kerana keadaan sekolah ini agak tercemar dan boleh mengundang penyakit. Jadi, suntikan ini penting untuk memastikan pelajar sentiasa sihat.”

Ika  menuju ke kelasnya. Sewaktu kelas Biologi, Ika mengambil kesempatan masa yang diberikan oleh Cikgu Haizah untuk menyiapkan latihan dengan berkenalan dengan rakan semejanya. Apa yang mengejutkan ialah Cikgu Haizah dengan bengisnya datang mencekik lehernya lalu dihantukkan kepalanya ke meja berkali-kali sehingga darah mula mengalir daripada kepalanya. Cikgu Haizah lalu membuat isyarat senyap kepada Ika tanpa mempedulikan darah yang mengalir di kepalanya.

Pada malam itu, Ika sedang menikmati maggi kari yang dibawanya dari rumah di asrama. Jam menunjukkan pukul 8 malam dan rakan-rakannya sedang tekun mengulang kaji pelajaran. Tiba-tiba telinganya dipulas kuat sehingga hampir tercabut.

“Saya hendak kamu lari keliling kawasan sekolah ini sehingga pagi esok. Cepat!” Warden asrama itu memberi arahan dengan muka yang merah padam.

“Apa salah saya?” Ika hairan kerana tiba-tiba diperlakukan sebegitu.

“Sudah. Kalau kamu banyak cakap lagi saya akan cungkil biji mata kamu.” Mendengar amaran yang menggerunkan itu, Ika terus keluar berlari sepanjang kawasan sekolah. Perutnya yang lapar kerana seharian tidak menjamah sebarang makanan ditahan. Akhirnya, Ika jatuh pengsan setelah 3 jam berlari tanpa henti.
Namun, Ika dikejutkan dengan air panas oleh warden yang bertopengkan syaitan itu. Pantas dia bangun semula dan meneruskan lariannya dengan kulit yang melecur. Dia tidak sanggup diseksa lagi.

Ika yang sedang berlari tanpa henti terpandang si warden yang sedang mengawasinya. Warden itu sudah terlelap di kerusinya! Segera mengambil peluang yang ada, Ika cuba untuk melarikan dirinya. Dia tidak sanggup lagi diseksa sejak hari pertama di ‘neraka’ ini. Ika menuju ke pagar asrama  untuk meloloskan dirinya. Saat Ika memanjat pagar besi yang tinggi itu, tangannya seolah-olah terkena renjatan elektrik. Badannya semakin lemah, pandangannya kabur.

“Di mana saya sekarang?” Ika tersedar setelah pengsan pada malam itu.

“Kamu sedang berada di bilik rawatan. Kamu pengsan semalam.” Otak Ika ligat memikirkan kejadian yang menimpanya sebelum dia pengsan setelah diberitahu oleh jururawat itu.

“Tolonglah, saya tidak sanggup lagi berada di sekolah yang seperti penjara ini. Saya hendak balik!” Ika menangis semahu-mahunya.

“Adik, dalam lengan awak itu sudah tertanam cip pengesan. Sekolah ini memang tidak benarkan pelajarnya bercakap melebihi 3 patah perkataan walaupun sesama rakan sendiri. Setiap pelajar dikawal ketat dengan menggunakan cip pengesan. Mustahil awak dapat meloloskan diri. Kakak yang sudah berusia 27 tahun pun masih terkurung di sekolah ini kerana tidak dibenarkan untuk keluar. Kaki kakak yang kudung ini pun kerana dipotong oleh pengetua.” Jawapan jururawat itu mengejutkan Ika. Patutlah dia seolah-olah terkena renjatan elektrik ketika cuba meloloskan diri.

Sejak daripada peristiwa itu, Ika sudah tidak berani untuk melakukan sebarang aktiviti selain belajar. Dia tekun belajar 24 jam tanpa henti.

“Ika, saya hendak awak menjadi wakil sekolah dalam peperiksaan Sekolah Genius yang akan diadakan di sekolah kita. Pastikan awak mendapat 100 markah dalam setiap 10 subjek peperiksaan itu untuk merebut gelaran juara.”

“Tetapi puan…”

“Apa? Saya tidak dengar. Kamu cuba membantahkah? Ingat, saya akan pastikan awak cacat seumur hidup jika tidak menjadi juara dalam pertandingan ini” Arahan pengetua itu muktamad. Ika tidak mampu untuk membantah kerana bimbang dengan nasibnya. Dia mengeluh lagi.

Ika telah dikurung di bilik stor sekolah 7 hari berturut-turut sebelum pertandingan itu bermula dengan hanya berbekalkan air mineral. Dia dikerah untuk belajar tanpa henti untuk peperiksaan itu.

Hari pertandingan telah tiba. Pertandingan itu diadakan di sekolahnya sendiri. Dengan badan yang tidak bermaya kerana dikerah belajar tanpa henti, Ika masuk ke dalam dewan peperiksaan. Dia berada di dalam dewan itu selama 24 jam untuk menjawab soalan 10 subjek. Kepalanya berpusing dan tanpa disedari, Ika telah pengsan di mejanya ketika peperiksaan masih berjalan. Sebaik sahaja dia terjaga, dewan itu kosong. Rupa-rupanya pepeperiksaan itu telah tamat 3 jam yang lalu. Seingatnya, dia baru menjawab 7 kertas.

“Ya Allah, apalah nasibku selepas ini.” Ika menangis tersedu-sedu seorang diri di dalam dewan peperiksaan sambil mengenangkan nasibnya. Dia pasti tidak dapat menjadi juara dan dihukum sehingga cacat.

Bangkit daripada tangisannya, Ika mengeluarkan pisau kecil yang sudah lama disimpan di dalam koceknya untuk digunakan sewaktu kecemasan ketika berhadapan dengan pengetua gila itu. Dikerat-kerat tangannya sehingga kudung. Bajunya digigit-gigit menahan sakit.

Ika terjengket-jengket keluar daripada kawasan sekolah itu dengan tangannya yang hanya tinggal sebelah.

“Aku bebas, aku bebas!” Ketawa Ika separuh gila.

Published inMentor Mentee

Be First to Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *