“Oh, untuk soalan berbentuk begini… sepatutnya kau gunakan formula nombor dua. Cuba kau perhatikan betul-betul bentuk soalan dia, kemudian baru padankan dengan formula,”
Pensel tekan ligat menari di atas buku latihan tatkala mulut terkumat-kamit menerangkan formula yang sepatutnya digunakan. Rakan-rakan lain yang turut semeja, diam tidak bersuara mendengar penerangan sebegitu rupa.
“Oh, senang sahaja rupanya! Cekap betul kau buat, Ameer. Skrap-pap-pap… terus sudah siap semua,” puji Nasrul, si rakan yang meminta pertolongan dari segi jawapan. Pujian melambung diberi memandangkan segala langkah kerja dan jawapan sudah terisi. Tidak perlu lagi dia sakit kepala memikirkan solusi!
Rakan-rakan yang lain turut mengangguk kepala laju umpama burung belatuk tercabut skru, bersetuju dengan apa yang dikatakan. Sememangnya segala soalan yang tidak mampu difahami, beri sahaja kepada Ameer. Pasti sekelip mata sahaja jawapan diberi.
“Amboi, melampau betul pujinya! Ini mesti mahu ‘kipas’ aku jawab soalan lagi! No, no… and big NO! Lepas ini, kita buat sama-sama,” Ameer tersenyum senang mendengar pujian yang diberi. Apa yang memberi kebahagian sebenar bukanlah pujian dan sanjungan, tetapi tatkala rakan mula faham dan medapat ilmu yang disampaikan… ah, itulah kegembiraan sebenar!
“Hahaha. On!” gelak ketawa mereka memecah kesunyian sepanjang sesi ulang kaji berkumpulan. Seperti kebiasaan, kerja sekolah dan latih tubi yang diberi guru di sekolah sentiasa akan dilakukan bersama setiap petang. Dengan cara ini, penyelesaian dan pembelajaran dapat dikuasai dengan lebih mudah efektif. Memang benarlah kata pepatah; bersatu teguh, bercerai kahwin du… eh, bercerai roboh!
“Wah, memang senang betullah formula yang kau ajar! Macam mana kau boleh terfikir semua ini? Setiap kali kami tidak jawab soalan sahaja, kau mesti ada formula tersendiri. Bila cikgu tanya dalam kelas pun, cepat sahaja kau jawab macam kereta api!” Syahmi mengemukakan fakta, sekadar memecahkan kesyunyian suasana. Sekali lagi, anggukan secara serentak beramai-ramai kembali dilakukan.
“Tetapi… sekejap!” teriakan kecil secara kecemasan dan tiba-tiba mengejutkan semua. Segala pergerakan juga terhenti dan terkaku buat sementara. Kesemua mata terus segera memandang si empunya suara. Hafiz.
“Aku pelik… kenapa setiap kali ujian, kau mesti ‘kantoi’? Kau ajar kami segala formula, kau dapat markah daripada kami semua.” Menyedari diri sedang diperhati, apa yang terbuku di hati terus diluahkan tanpa sembunyi.
“Err… aku pun tidak tahu mahu jawab macam mana. Mungkin soalan di dalam ujian, tidak seperti apa yang aku sangkakan, ” peluh di dahi Ameer mula kelihatan. Jawapan diberi hanya untuk melepaskan diri.
“Eh, tipu! Aku rasa, selama ini kau hanya berlakon pandai dan sempurna… padahal semua lakonan semata-mata! ”
“Mungkin selama ini kau sengaja tidak jawab soalan ujian untuk bagi kami peluang maju ke depan mendapat pujian, ”
“Haa, entah-entah kau mendapat markah rendah sebab ibu kau tidak mendoakan kau! ”
“DIAM! ”
Terus sahaja hingar-bingar spekulasi yang tidak sahih lagi tidak terbukti menjadi sunyi sepi. Mulut yang rancak berbual dan bergosip umpama ‘pak cik bawang’ juga segera terhenti.
Ameer pula mengetap gigi sekuatnya sehingga terasa sakit di gusi. Tangan dikepal rapat dan erat, terasa ringan untuk dilepaskan ke mana sahaja yang dimahukan. Terasa diri diperhati, kepala yang ditunduk mendongak kembali.
“Ah, bukan apa. Azan Asar… tidak baik buat bising macam tadi, ” mendengar jawapan Ameer, kesemua mereka mengangguk faham.
Ameer hanya mampu tersenyum plastik. Terasa panas di jiwa, membara di dada. Namun semua perasaan hanya mampu dipendam dan disembunyikan dengan sebuah senyuman dan lakonan sahaja.
@@@@
“Tak guna! ”
Jeritan kecil mula bergema di kamar tidur Ameer. Pen yang sedari tadi berada di tangan digenggam erat dan kuat, menghasilkan retak sedikit. Kepala yang tidak gatal digaru penuh kasar dan ganas, menyerabutkan rambut yang disikat kemas.
‘…hanya berlakon pandai dan sempurna padahal semuanya lakonan semata-mata! ‘
Kata-kata rakannya itu menimbulkan sakit hati, namun dalam masa yang sama geli hati. Ah, untuk apa entah dirinya berlakon pandai dan sempurna? Nonsense! Denyutan jantung bertambah hebat dan kuat, menahan geram dan sakit di hati.
‘Mungkin selama ini kau sengaja tidak jawab soalan ujian untuk bagi kami peluang maju ke depan…’
Ah, maaflah sahabat… sesungguhnya diri tidak sebaik sebegitu sekali. Sengaja tidak menjawab soalan? Oh, tidak pernah walau sekali Ameer meninggalkan kertas soalan dengan jawapan kosong. Ruang jawapan sentiasa diisi, walaupun dia sendiri sangsi dan tidak pasti dengan jawapan yang diberi. Sungguh kata-kata rakannya itu menimbulkan tekanan kepada diri.
‘Haa, entah-entah kau mendapat markah rendah sebab ibu kau tidak mendoakan kau!’
PRANG!
Cermin yang berada berdekatan kini pecah berderai, ditumbuk oleh Ameer. Ya, dia masih mampu bersabar sekiranya dirinya dipermainkan. Dia masih mampu bertabah sekiranya dirinya digelakkan. Tetapi… jangan sesekali melibatkan ibunya!
Buat seketika, tangan yang berdarah dan bercalar diperhatikan. Darah merah oekat mengalir deras, umpama air sungai yang tidak tahu bila mahu berhenti. Terdapat juga serpihan kaca yang tertusuk dan tercucuk, namun dibiarkan sahaja. Entah mengapa, dia tidak merasakan apa-apa kesakitan yang melanda.
Mata kembali tertancap pada buku latihan yang terbuka sedari tadi. Soalan subjek Kimia sudah terhidang dan menanti untuk diisi. Ameer kembali fokus, menarikan mata pen di buku latih tubi.
Beberapa halaman dilakukan, namun Ameer tidak mampu menipu diri. Sememangnya dari tadi lagi, dia tidak menumpukan perhatian kepada soalan. Kepalanya ligat memikirkan segala memori yang berlaku petang tadi.
“Saya cukup kecewa dengan keputusan ujian kamu ini, Ameer. Berdasarkan latihan, saya jangkakan lebih daripada kamu. Tidak sangka sanggup kamu hampakan kami! ”
Mata pen digerakkan rawak, menconteng segala isi buku dengan kasar. Kata-kata gurunya tempoh hari kembali terngiang-ngiang, menambah sakit hati. Kepala juga bertambah denyutnya sehingga tertimbulnya urat-urat. Lebih menyerabutkan, wajah rakan-rakan yang mengejek juga kembali terbayang menambah tekanan perasaan.
Jari dan belakang telapak tangan sebelah kiri dilihat. Darah-darah yang masih mengalir, menitik jatuh ke atas buku latihan. Calar-calar dan luka juga terus-terusan berdenyut.
Secebis cermin yang tertusuk dalam kulit dan daging ditarik keluar. Darah kembali mengalir keluar daripada luka tusukan cermin tersebut.
“Adakah perlu aku lakukan semua ini? ”
Lengan baju diselak hingga ke bahu. Maka terlihatlah segala luka dan parut yang berbekas. Ada yang masih merah dan berdenyut. Parut yang kelihatan seperti dihiris sesuatu yang halus itu begitu banyak, sehingga tidak mampu dibilang dengan jari. Cebisan cermin yang tajam dan tirus didekatkan kepada kulit tangan, di kawasan bawah nadi.
PRAK!
Cebisan tersebut ditusuk ke dalam kulit membuakkan darah merah pekat. Sekali lagi, bau hanyir darah begitu pekat menguasai biliknya. Tidak cukup dengan itu, ditarik dan ditorehnya cebisan cermin, membelah daging dan kulit.
Tubuh Ameer tidak mampu berselindung daripada menggeletar menahan keperitan. Pelupuk mata juga tidak mampu lagi menahan air mata hangat daripada mengalir membasahi pipi. Namun begitu, bibirnya tetap juga berusaha mengukirkan senyuman sambil berkata, “Begini barulah saya mampu fokus belajar dengan baik! ”
@@@@
“Ameerul Mukminin, kamu disahkan menghidap penyakit anxiety disorder dan self-injury, ”
Diagnosis yang dikeluarkan oleh doktor amat mengejutkan Ameer dan ibunya, Puan Aisyah. Puan Aisyah menekup mulut kerana terkejut. Air mata mengalir begitu deras, terkejut dengan kenyataan oleh doktor yang berada di hadapan.
Ameer pula tidaklah begitu terkejut, memandangkan dia sendiri yang menghidapi penyakit tersebut. Dia sendiri yang melakukan segala siptom kepada penyakit yang dihidapi. Namun, kepala tetap juga menunduk tidak mampu memandang ibunya.
Dia sendiri sudah cukup malu dan menyesal setelah dibawa ke hospital akibat kehilangan banyak darah. Sebaik dibawa ke hospital, doktor cukup terkejut dengan segala luka dan calar yang berada di tubuh Ameer. Lalu, diminta bercakap jujur dan meluahkan segala rasa yang dipendam segala rasa.
“Buat pengetahuan kamu, anxiety disorder bermaksud perasaan cemas yang berlebihan dan kerap sehingga menggangu aktiviti harian” Segala butiran yang direkod diperhatikan kembali.
“Setelah mendengar luahan Ameer, saya dapati anxiety disorder bermula sewaktu ujian PT3 dua tahun lepas. Ketika itu, dia mengalami kemurungan yang melampau dan kesedihan yang berpanjangan sehingga dia tidak mampu menjawab peperiksaan ketika itu. Semuanya berpunca daripada penceraian ibu bapa. Dia merasakan bahawa keputusan peperiksaan yang tidak cukup cemerlang menjadi punca penceraian,”
“Kesan daripada peristiwa itu, setiap kali peperiksaan berlangsung, perasaan murung dan trauma tersebut kembali menyerang dan menyebabkan dia tidak mampu menjawab ujian dengan baik,”
“Tertekan dengan keputusan ujian, ditambah lagi dengan tekanan daripada diri dan pihak sekolah, menyebabkan Ameer mengambil keputusan menghukum diri sendiri. Ameer didapti sentiasa cuba menghukum diri dengan lebih teruk supaya hukuman tersebut mampu membantunya lebih fokus kepada ujian, ”
Tidak disangka, rupa-rupanya anak teruna yang selama ini dilihat sempurna… menyimpan rahsia dan rasa. Tidak diduga, keluarga yang terasa bahagia dan gembira… ada juga menyimpan duka.
“Ameer, ibu minta maaf kerana selama ini tidak mengambil berat terhadap kamu sebaiknya. Bukan salah kamu, ini semua berlaku. Ini semua takdir Tuhan, ibu dan ayah tidak lagi bersama. Selepas ini, ibu minta tolong… luahkan sahaja apa yang terbuku di hati, ya?” pelukan hangat terus diberi kepada Ameer tatkala pipi sudah dibasahi air mata.
Ameer mula sebak dengan apa yang baru berlaku. Tangan yang kaku, mula membalas pelukan erat si ibu. Kini, terasa tiada lagi beban yang perlu dipikul. Tiada lagi rasa yang perlu dipendam. Tiada lagi hukuman yang perlu diterima. Kini, dirinya bebas daripada dibelenggu rasa bersalah selama ini!
Be First to Comment