Aku melangkah dengan penuh bertenaga di tengah-tengah ibu kota Kuala Lumpur. Selaku introvert terhormat , adalah menjadi satu kemestian untuk aku mengelakkan diri dari kelompok orang ramai. Jadi aku memilih waktu malam. Namun begitu , kawasan persekitaran masih lagi dibanjiri manusia berbagai kaum. Umpama air terjun yang mengalir tanpa henti. Hai , orang KL memang tak kenal erti lena agaknya.
Sekejap aku mengeluh. Tak ada guna juga keluar waktu malam. ‘Tak apalah .. janji aku usaha.’ Bisik aku menyedapkan hati sendiri.
Mata aku melilau ke sekeliling. Matlamat dalam diri hanyalah satu. Mencari tempat yang sesuai untuk melukis , antara hobi dan satu-satunya bakat semula jadi yang aku ada. Kenapa mahu melukis?
Kerana melukis mampu memberi aku ketenangan.
Jumpa sahaja tempat yang strategik di tepi lorong , aku terus membuka kerusi lipat dan keluarkan semua peralatan dari beg galas yang turut dibawa bersama. Punggung didaratkan dan sebatang pensel 2B dipegang. Kemudian , aku memandang persekitaran dengan tujuan untuk mencari ‘sesuatu’ untuk dilukis.
Apa yang aku lihat hanyalah manusia dan deretan kedai.
“Lukis pemandangan KL ni pun bolehlah ..” serta-merta jari jemari aku menari-nari diatas permukaan buku lukisan.
Sedang khuyuk melukis , tiba-tiba ..
“AWAK CURANG!”
Suasana riuh-rendah mula menguasai satu kedai kasut tak jauh dari lokasi aku. Lantas aku berpaling kearahnya. Kelihatan seorang wanita bertudung sedang membaling-baling kasut kearah seorang lelaki. Yang menyeramkan , kasut-kasut tumit tinggi turut dibalingnya! Nasib baik tidak kena , kalau tak .. fuh , naya!
“Sabar sayang ..” lelaki yang menjadi mangsa ‘kasut terbang’ cuba menenangkan si wanita bertudung. Mesti itu suaminya.
“Sampai hati awak keluar dengan orang lain tanpa pengetahuan saya!” Serentak dengan itu , wanita bertudung menghadiahkan satu tamparan kuat pada pipi suaminya sebelum berlalu pergi dengan esakan air mata. Lelaki itu pula , tidak sempat berasa terkejut , terus mengejar si isteri.
Aku hanya menggeleng melihat drama tersebut.
Bila tak ada kesabaran dalam diri , inilah jadinya. Habis terpelanting semua kasut dalam kedai orang. Tak boleh kawal marah punya fasal. Yang malang semestinya pekerja kedai yang terpaksa berpenat lelah mengutip semula kasut-kasut itu.
Walaupun begitu , terdetik juga rasa kasihan dalam hati aku pada si wanita bertudung. Agak-agak apa perasaannya ya? Pasti sedih bukan kepalang.
‘Ah , suka hati mereka lah! Bukan masalah aku pun.’ Tumpuan aku beralih semula pada buku lukisan. Pensel kembali bertemu kertas. Kini , aku membuat beberapa lakaran sebelum memekatkannya. Selesai sahaja , aku mengangkat buku lukisan bagi melihat hasil lakaran.
Cantik.
Satu senyuman menyinari wajah aku. “Sekarang , masa untuk mewarna.” Baru sahaja mahu mengambil kotak pensel warna , mata aku menangkap kelibat seekor makhluk.
“Meow …” makhluk bernama kucing itu mula menghampiri. Bulu kucing itu putih suci tapi agak kotor dan serabut. Badannya terlalu kurus sehingga nampak tulang. Salah satu matanya pula tak dapat dibuka kerana terlalu penuh dengan tahi mata.
“Meow ..” sekali lagi bunyi keluar dari mulut Cik Kucing. Aku memandang kucing itu dengan serba-salah. Lama aku merenungnya sebelum aku memutuskan untuk mengeluarkan bekal berisi roti sandwic inti sardin dari beg galas. Bahagian inti sardin aku beri pada makhluk berbulu putih. Dengan gaya rakus , kucing itu memakannya. Habis semua , kucing itu mengangkat kepala. Meminta lagi.
“Alamak , dah habis lah. Sorry ..” Lama kucing itu menunggu , seakan memahami , dia terus berlalu pergi. Anak mata aku mengekorinya sebelum ia hilang dari pandangan.
Kucing , antara haiwan kesayangan Rasulullah SAW. Walaupun begitu, masih ada sesetengah manusia yang seolah tak faham. Ada yang membuang , menyimbah air panas dan menyepak kucing .. oh memang kejam!
Mengenangkan keadaan kucing tadi , aku jadi sedih. Tiada duit dan tak boleh bercakap bahasa manusia. Pasti sukar buatnya untuk mendapatkan makanan.
Spontan , dalam hati , aku panjatkan doa. Moga-moga kucing tadi dapat makan makanan yang sedap seperti ayam goreng KFC.
“Ish , serabutnya!” Aku mengeluh. Banyak masalah pula malam ini. Nafas dihembus kasar sebelum aku keluarkan telefon bimbit dan membuka aplikasi Ero FM untuk mendengar lagu.
Beberapa lagu menyusup ke telinga. Aku melayan kepala ikut rentak lagu. Satu pensel warna aku guna untuk mencantikkan lukisan yang telah aku buat.
15 minit kemudian ..
“Eh , kenapa semua lagu-lagu cinta?” Sebelah kening aku menjongket kehairanan. Sedari tadi aku mendengar , semua lagu mempunyai konsep yang sama. Kebanyakannya berkaitan cinta. Adakah penyanyi sekarang saling meniru atau mereka kekurangan idea?
Tidakkah mereka tahu , cinta manusia tak kekal tapi cinta dengan Tuhan kekal abadi?
Aku menepuk dahi. Serabut. Mungkin aku terlalu banyak berfikir malam ini. Lantas , semua barang aku kemas. Melihat keadaan , aku sudah tahu yang aku tak akan dapat menenangkan diri malam ini. Lebih baik aku pulang ke rumah.
Berjalan balik , aku melintasi sebuah masjid. Pintu pagarnya masih dibuka. Aku tersenyum.
“Lebih baik aku buat amal ibadah. Pasti itu akan buat aku tenang ..”
Aku pun melangkah masuk.
Be First to Comment