Skip to content

Kau Jadi Mangsa Aku

“Mana kerja sekolah?” Rakan-rakan sekelas yang lain menundukkan mata ke bawah. Tidak berani hendak melihat wajah cikgu  yang garangnya setaraf cikgu Amnah Jambul Kembang! Alamatnya kena ‘tikamlah’.

Melihat dari riak wajah mereka, mungkin kepala sudah berkira-kira apa alasan logik lagi masuk akal. Hendak kata cicak buang najis atas kertas… Ish, mengarut! “err…. Semalam saya..” Sebelum sempat menghabiskan ayat, cikgu baling pen tepat ke dahi kawan saya. “Apa kamu semua fikir ini sekolah bapa kamu? Suka hati tidak mahu hantar kerja sekolah!” Aura ‘singa betina’ sudah mulai membara. Menggigil badan satu kelas melihat keadaan cikgu waktu itu.

“Esok cikgu mahu semua kerja sekolah dari penggal pertama siap sempurna terletak rapi diatas meja cikgu. Jika sesiapa tidak hadir ataupun tidak menyiapkan tugasan yang diberi…kamu semua pasti akan menyesal.” Senyuman sinis dihadiahkan buat semua. Pada masa itulah saya mula rasa tidak sedap hati.

“Irfan, cikgu hendak jumpa kamu nanti.”

@@@@

Pulang ke rumah, saya  terkial-kial buat kerja sekolah yang melambak setinggi gunung Everest! Tangan menulis laju setaraf The Flash. Segala macam formula disemak berkali-kali sampai pening kepala dibuatnya.

“Eh, fail tertinggal di bawah meja!” Jam menunjukkan jarum pendek ke arah selatan dan jarum panjang kearah timur. Entah kenapa tiba-tiba  meremang bulu roma. Hendak atau tidak.. Terpaksa juga ke sekolah untuk mengambil fail tersebut. Jikalau tidak… Habislah saya!

Kepala sudah terbayang-bayang kelibat apa yang akan muncul. Hantu balik raya? Pontianak busuk sundal pagi? Toyol perut buncit? Oh, tidak dapat dibayangkan!

Masuk saja ke dalam sekolah menggunakan kereta ayah saya, saya dengan pantas berlari ke tingkat atas sekali. Tidak mahu membuang masa di tempat itu bersendirian.

Memasuki bilik darjah yang tidak berkunci, badan terasa seram sejuk. Maklum sahaja penghawa dingin tidak ditutup. Ish, membazir elektrik betul!

“MATI!” suara itu bergema kuat dari dalam bilik kosong. Terkejut saya dibuatnya. Hati terasa berat sebenarnya hendak mengintai tetapi disebabkan rasa ingin tahu lebih banyak mendominasi, saya tarik nafas dan melihat dari luar tingkap.

“Tidak.. Tidak… Ini semua hanya mimpi!”

@@@@

Keesokannya polis datang ke sekolah untuk menyiasat kes tersebut. Kecoh satu sekolah apabila mendapati pelajar kelas tingkatan empat bunuh diri dengan cara yang agak ekstrem. Paling mengejutkan, pelajar itu sendiri merupakan rakan sekelas saya!

“Kenapa Ifran jadi mangsa?”

“Entah-entah cikgu bunuh dia. Yalah, semalam cikgu hendak jumpa dia bukan?”

“Saya rasa dia bunuh diri. Maklum sahaja dia antara pelajar yang tidak pernah menghantar kerja sekolah. Disebabkan rasa takut didenda, dia bunuh diri.”

Banyak betul spekulasi yang dibuat. Mereka semua percaya itu adalah kes bunuh diri tetapi bukan saya. Ini merupakan… Kes pembunuhan secara kejam. Namun begitu saya tidak berani hendak berkata apa-apa sebab ditakuti diri sendiri pula yang menjadi mangsa. Ini kerana pembunuh itu sekarang berada di dalam kelas.

Saya mesti buat sesuatu untuk menyelamatkan keadaan. Inilah masanya untuk jadi hero!

@@@@

Lonceng berbunyi menandakan waktu sekolah sudah tamat. Inilah masa yang sesuai untuk merungkai misteri pembunuhan. “Maty, saya hendak bercakap dengan awak sekejap.” Dia hanya mengangguk lemah dan mengikuti langkah saya macam siput.

“Kita hendak buat apa di belakang kantin?” Saya menarik nafas panjang sebelum menjawab, “lebih baik awak mengaku yang awak adalah pembunuh itu!”

Keadaan jadi semakin tegang. Bibirnya mengukir senyuman jahat. Oh my god, What have I done? Please don’t kill me!

“Macam mana kau boleh tahu?” gunting tajam diseluk keluar dari poket. Adakah ini penamat riwayat hidupku? Tidak… Saya mesti lawan balik demi keadilan.

“Sepandai-pandai gajah melompat, akhirnya tergolek juga.” Tidak semena-mena Maty cuba untuk menikam saya. Saya dengan pantas mengelak ala-ala pahlawan. Hampir sepuluh minit bergelut, akhirnya tumbukan dari saya terkena mukanya sampai lebam.

“Lebih baik awak beritahu kenapa awak bunuh dia.” Dia akhirnya mengalah. Maty menerangkan bahawa dia sebenarnya cemburu dengan Irfan. Irfan selalu diberi kebebasan  menghantar kerja sekolah. Jika gagal dalam peperiksaan pula tidak pernah dimarahi oleh cikgu.

“Irfan itu sebenarnya orang kurang upaya.” Apabila mendapat tahu keadaan sebenar, Maty menangis sekuat hati menyesali perbuatannya. Akibat cemburu, hatinya buta.

“Lebih baik awak berterus terang dengan pihak polis sebelum keadaan bertambah teruk.” Maty menangis hiba mengenang nasib dirinya. Namun begitu dia tidak menyesal. Disebalik air mata itu ada senyuman kemenangan terukir. Tiada siapa perasan dirinya mengalami tekanan spikologi.

“Seterusnya kau jadi mangsa aku…”

Published inMentor Mentee

Be First to Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *